PETALING JAYA: Skuad hoki negara menyasarkan kedudukan teratas Kumpulan B sebagai langkah penting untuk membuka laluan lebih cerah ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, dengan Pakistan dan China menjadi dua halangan utama yang perlu ditangani.
Ketua jurulatih negara, Brendon Carolan berkata, Malaysia perlu memanfaatkan peringkat kumpulan sebaik mungkin bagi mengelak bertemu India yang menjadi pilihan untuk menjuarai Kumpulan A.
“Sasaran pertama kami adalah muncul juara kumpulan. Kami perlu menang menentang Pakistan dan China kerana itu dua perlawanan utama jika mahu berada di kedudukan teratas.
“Kami mahu elakkan bertemu India di peringkat silang, jadi kami mesti tamatkan kumpulan di tempat pertama. Selepas itu, kemungkinan besar kami akan bertemu Jepun atau Korea Selatan dan kami perlu bersedia,” katanya.
Malaysia membuka kempen menentang Uzbekistan pada 20 September sebelum berdepan Oman (22 September) dan Thailand (24 September), manakala ujian sebenar hadir menerusi pertemuan dengan Pakistan pada 26 September dan menentang China dua hari kemudian.
Dalam pada itu, Carolan turut membawa sisi positif daripada penampilan skuad negara di Piala Dunia apabila pemainnya berjaya memberi saingan kepada beberapa pasukan berstatus lebih tinggi.
“Di Piala Dunia, kami berdepan lawan berkualiti tinggi dan hampir semua pasukan, kecuali Wales yang mempunyai ranking lebih tinggi daripada kita.
“Prestasi kita memuaskan kerana seri 2-2 dengan Perancis yang bermain dalam Pro League dan memenangi Piala Negara-Negara, selain seri dengan Afrika Selatan yang sebelum itu seri dengan Australia dan menewaskan Perancis. Cuma perlawanan menentang Ireland yang mengecewakan,” katanya.
Speedy Tigers diletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas pada Sukan Asia yang turut menawarkan slot automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.- UTUSAN










