BANJARMASIN: Seorang maut dan lebih 100 lagi diselamatkan pada Ahad selepas sebuah feri yang dalam perjalanan antara pulau Jawa dan Borneo, Indonesia dilanda cuaca buruk, menurut pegawai penyelamat.
Feri Virgo Transport 8 yang membawa 243 penumpang dan anak kapal, terputus hubungan dengan syarikat perkapalannya pada awal Ahad selepas bertolak dari Surabaya, Jawa Timur.
Pasukan penyelamat Indonesia melancarkan operasi pencarian besar-besaran bagi mengesan kira-kira 140 individu yang masih belum ditemukan.
“Kami boleh memaklumkan jumlah penumpang yang dipindahkan ialah 103 orang dan seorang daripada penumpang berkenaan meninggal dunia. Pasukan penyelamat berdepan ombak setinggi 2.5 meter untuk sampai ke feri berkenaan. Ia amat berisiko bagi kapal.
“Malah kapal Basarnas kami yang sepanjang 40 meter juga berdepan risiko besar. Sebuah helikopter Basarnas turut menyertai operasi berkenaan,” kata Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat tempatan, I Putu Sudayana kepada pemberita di bandar pelabuhan Banjarmasin yang menjadi destinasi feri itu.
Sudayana sebelum ini memberitahu AFP, kapten kapal melaporkan feri itu semakin condong sebelum hubungan terputus. Kedudukan terakhir feri itu dikesan di Laut Jawa, kira-kira 150 kilometer dari destinasinya.
Ketua Penguasa Pelabuhan Laut Banjarmasin, Heri Purwanto berkata, kapal yang membawa penumpang dan kenderaan itu terputus hubungan pada pukul 2 pagi Ahad (Waktu tempatan).
“Kami bertindak pantas terhadap laporan kejadian itu. Fokus dan keutamaan utama kami ketika ini ialah keselamatan semua yang berada di atas kapal dan kami menggerakkan operasi menyelamat secara bersepadu,” katanya.
Pihak berkuasa penyelamat mendirikan pusat kawalan di pelabuhan Banjarmasin, dengan petugas perubatan dan ambulans bersiap sedia, menurut tinjauan wartawan AFP.
Puluhan saudara-mara dan rakan penumpang menyemak papan putih yang dikemas kini dengan nama mereka yang telah diselamatkan.
Seorang ahli keluarga mangsa, Jenah, 26, berkata, dia datang ke pusat kawalan itu untuk mendapatkan maklumat mengenai abang sulungnya.
“Saya sedih dan sangat terkejut. Sehingga kini, saya masih belum menerima maklumat lanjut.
“Dia dalam perjalanan seorang diri, saya harap dia selamat. Saya tidak dapat menghubunginya sejak malam tadi,” katanya.










