KOTA BHARU: Tindakan individu berusia 18 hingga 29 tahun membelanjakan RM30,000 bagi mengubah suai sebuah kereta secara ekstrem membawa padah apabila kenderaan mereka disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan.
Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, ia terbongkar selepas JPJ Kelantan menjalankan Ops Ekstrem yang menyaksikan 10 kereta dan dua motosikal disita di sini pada 11 September lalu.
Katanya, lebih menarik perhatian, pemilik kenderaan berkenaan dikesan bergerak dalam kelab yang tidak didaftarkan secara sah serta menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mengatur pertemuan pada setiap hujung minggu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, JPJ Kelantan mendapati 10 kereta yang disita, tiga didapati melakukan kesalahan menukar enjin kenderaan tanpa kebenaran.
“Kita turut mengesan sembilan kes penyedap bunyi tidak mengikut spesifikasi, tiga kes pengubahsuaian kelegaan tanah serta masing-masing satu kes ketelusan cahaya cermin hadapan, lampu belakang tidak berfungsi, cermin retak dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Misuari memberitahu, soal siasat awal mendapati pengubahsuaian ekstrem membabitkan perbelanjaan berjumlah RM30,000 bagi sebuah kereta.
“Bagi motosikal, kesalahan dikesan melibatkan saiz tayar, nombor pendaftaran, cermin pemantul, swing arm, sistem brek depan dan belakang, ECU, penutup rantai serta penyenyap bunyi,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Misuari berkata, JPJ Kelantan telah melaksanakan 18 Ops Ekstrem sepanjang Januari hingga September dan memeriksa sebanyak 3,600 kenderaan.
“Di sepanjang tempoh tersebut, kita telah mengambil tindakan terhadap 1,130 kenderaan dan sebanyak 278 kenderaan telah disita.
“Kita turut mengesan 82 kes pengubahsuaian ekstrem dan 2,218 kes lain-lain kesalahan,” katanya. – UTUSAN










