SANAA: Kumpulan Houthi pada Ahad mendakwa mereka menggunakan dron dan peluru berpandu untuk menyerang sebuah pangkalan tentera di selatan Arab Saudi ketika pertempuran yang kembali tercetus dengan pasukan kerajaan Yemen menyebabkan semakin ramai orang awam melarikan diri.
Serangan di pangkalan Sharurah di selatan Arab Saudi itu menyasarkan depot senjata dan pusat pemerintahan selain kawalan yang menguruskan pencerobohan negara itu, kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree dalam hantaran di X.
Tarikh operasi itu tidak dinyatakan.
Pertempuran antara Houthi yang bersekutu dengan Iran dan pasukan kerajaan Yaman yang disokong Riyadh meningkat minggu ini.
Pada Sabtu, pasukan kerajaan berkata, mereka menyerang kumpulan Houthi di bandar Mocha di Laut Merah, sebelum melancarkan serangan terhadap kedudukan Houthi lain di bahagian barat daya negara itu.
“Angkatan Udara Angkatan Bersenjata menyasarkan kedudukan dan berek kumpulan Houthi dengan tiga serangan udara di wilayah Taiz,” kata tentera Yemen dalam hantaran di X pada Ahad.
Pada malam Sabtu, pihak berkuasa Arab Saudi berkata, sebuah projektil Houthi jatuh di kawasan berhampiran sempadan, beberapa jam selepas amaran dikeluarkan mengenai kemungkinan berlaku serangan.
Direktorat Pertahanan Awam Arab Saudi berkata, kejadian itu mengakibatkan dua orang cedera dan kerosakan pada sebuah masjid, beberapa bangunan dan kenderaan.
Laman berita Amerika Syarikat, Axios, turut melaporkan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, dua kali menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, minggu lalu bagi meminta serangan terhadap Houthi, tetapi permintaan itu ditolak.
Pertempuran berterusan itu berlaku selepas serangan besar-besaran Houthi selama seminggu yang berakhir dengan kumpulan berkenaan menawan baki kawasan pantai Laut Merah Yemen dan beberapa pulau strategik, sekali gus mengukuhkan penguasaan mereka ke atas Selat Bab al-Mandab di pintu masuk selatan Laut Merah.
Perairan itu menjadi laluan penting bagi eksport minyak Arab Saudi selepas Iran sebahagian besarnya menyekat penghantaran melalui Teluk dengan sekatannya di Selat Hormuz pada awal perang di Asia Barat.
Houthi baru-baru ini mengumumkan sekatan maritim mereka sendiri terhadap pelabuhan Arab Saudi di Laut Merah.
Perang saudara Yemen yang bermula pada 2014 selepas Houthi menawan ibu negara Sanaa, terhenti sejak gencatan senjata pada 2022 tetapi kembali tercetus pada Julai.
Arab Saudi mula campur tangan dalam perang itu pada 2015 bagi menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa dan terus menyokong pentadbiran yang berpangkalan di Aden. – AFP










