AS boleh terima EV China tetapi bersyarat - Trump

AS boleh terima EV China tetapi bersyarat – Trump

KENDERAAN elektrik (EV) buatan China yang menunggu untuk dieksport dilihat diletakkan di Pelabuhan Perdagangan Automobil Antarabangsa di Hangzhou, wilayah Zhejiang, timur China.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi bayangan bersedia membenarkan syarikat automotif China membina kenderaan elektrik (EV) di negara itu dengan syarat menggunakan tenaga kerja tempatan.

Bagaimanapun, Trump menegaskan AS akan terus menyekat kemasukan kenderaan yang diimport terus dari China.

Dalam wawancara dengan Fox News, Trump menolak kemungkinan membenarkan kenderaan China diimport ke pasaran AS, sambil berkata langkah itu boleh menyebabkan pasaran automotif negara berkenaan ‘dibanjiri’ produk China.

“Kami tidak membenarkan kenderaan mereka masuk ke Amerika Syarikat dan tidak pernah berbuat demikian,” katanya, merujuk kepada Presiden China, Xi Jinping.

Bagaimanapun, Trump berkata beliau tidak mempunyai masalah jika syarikat China membuka kilang di AS untuk menghasilkan kenderaan mereka, dengan syarat menggunakan tenaga kerja tempatan.

“Jika China mahu datang dan membuka kilang untuk membina kenderaan mereka di sini, saya tiada masalah. Jepun melakukannya tetapi mereka mengambil pekerja kita.

“Apa yang saya tidak mahu ialah mereka membina kenderaan di Mexico dan menghasilkannya pada kos rendah sebelum menghantarnya merentasi sempadan,” katanya.

Kenderaan elektrik China yang murah dan dilengkapi teknologi canggih daripada syarikat seperti BYD serta Geely Automobile Holdings kini semakin mendapat tempat dalam pasaran global.

Kenderaan itu turut semakin banyak memasuki pasaran Kanada dan Mexico, sekali gus meningkatkan kebimbangan pengeluar automotif AS syarikat China mungkin cuba menembusi pasaran Amerika dalam masa terdekat.

Ketika ini, kereta China tidak dapat menembusi pasaran AS berikutan tarif tinggi serta larangan Jabatan Perdagangan atas alasan keselamatan negara yang meliputi sistem kenderaan berhubung dengan internet daripada negara yang dianggap sebagai ancaman, termasuk China.- BLOOMBERG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×