MANUSIA diciptakan Allah SWT dalam keadaan yang pelbagai, iaitu berbeza bangsa, bahasa, warna kulit, budaya, tempat tinggal, pemikiran dan pengalaman hidup. Kepelbagaian berkenaan bukan suatu kesilapan dalam penciptaan manusia. Sebaliknya, ia sebahagian daripada sunnatullah yang memperlihat kebesaran dan kebijaksanaan Allah SWT.
Pendakwah bebas dan Imam Masjid Kariah Ulu Cheka, Jerantut, Imam Ahmad Shah Jamlus berkata, Islam tidak datang untuk menghapuskan kepelbagaian, sebaliknya, agama ini memberikan panduan bagaimana manusia yang berbeza dapat hidup bersama dengan aman dan bekerjasama dalam perkara yang membawa kebaikan.
“Hal ini sudah dijelaskan dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: ‘Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku supaya kamu saling mengenal.’ Ayat ini menunjukkan manusia dijadikan berbeza bukan supaya saling membenci, tetapi saling mengenali,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Ahmad Shah yang pernah menjalani pengajian tinggi di Universiti Al-Bayt, Jordan berkata, kita perlu memahami kesatuan tidak bermaksud keseragaman. Dua orang boleh mempunyai pandangan berbeza, tetapi masih bersaudara. Dua kelompok boleh ada pendekatan berlainan, tetapi masih boleh bekerjasama. Bahkan masyarakat pelbagai bangsa dan agama boleh hidup dalam sebuah negara yang sama apabila keadilan dan hak setiap manusia dipelihara.
IMAM AHMAD SHAH JAMLUS
Tempat lahir: Kampung Tengah Ulu Cheka, Jerantut
Pendidikan tinggi:
Sarjana Sains Pengurusan Maklumat, UiTM (2019)
Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang (Kepujian), Universiti Malaya
(2001)
Universiti Al-Bayt, Jordan (1994–1998)
Katanya, dalam kalangan umat Islam sendiri terdapat kepelbagaian bangsa, bahasa dan budaya. Dalam bidang ilmu pula terdapat mazhab fiqh, pendekatan dakwah dan pandangan ulama yang berbeza dalam beberapa perkara tertentu. Perbezaan seperti ini tidak sepatutnya menjadi sebab untuk umat Islam saling bermusuhan.
“Walaupun umat Islam mempunyai pelbagai perbezaan, mereka mempunyai asas yang menyatukan. Allah satu, Rasul satu, al-Quran satu dan kiblat satu. Tauhid menjadi pusat yang menghubungkan hati umat Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anbiya’ ayat 92, bermaksud,’Sesungguhnya umat kamu ini adalah umat yang satu, dan Aku Tuhan kamu, maka sembahlah Aku.”
Beliau berkata, apabila berlaku perbezaan pandangan, Islam mengajarkan umatnya tentang adab al-ikhtilāf, iaitu adab ketika berbeza pendapat. Kita boleh mempertahan pandangan yang diyakini benar, tetapi tidak perlu mencaci atau merendahkan orang lain. Berbeza pendapat tidak bermakna bermusuhan.
Katanya, prinsip pertama dalam mengurus kepelbagaian, iaitu ta‘āruf atau saling mengenali. Banyak perselisihan berlaku kerana tidak benar-benar mengenali antara satu sama lain. Apabila kita mendekati seseorang, mendengar pengalaman mereka dan memahami latar belakang mereka, banyak prasangka dapat dihilangkan.
Tambahnya, daripada ta‘āruf lahirlah tafāhum atau saling memahami. Memahami tidak semestinya bermaksud kita bersetuju dengan semua perkara. Kita mungkin tetap mempunyai pandangan berbeza, tetapi sekurang-kurangnya kita memahami mengapa seseorang mempunyai pandangan itu. Kefahaman seperti ini dapat mengurangkan permusuhan.
Katanya, prinsip itu sangat penting dalam masyarakat majmuk. Islam tidak mensyaratkan kita mesti bersetuju dengan seseorang terlebih dahulu sebelum berlaku adil kepadanya. Seseorang mungkin berlainan agama, bangsa, budaya, pandangan atau pendirian politik, tetapi haknya sebagai manusia tetap perlu dihormati. Keadilan tidak boleh diberikan berdasarkan sentimen kelompok.
“Kita perlu membina kefahaman bahawa berbeza agama tidak semestinya bermusuhan, berbeza bangsa tidak menentukan kemuliaan, dan berbeza pandangan tidak semestinya bawa perpecahan. Masalah bukan pada perbezaan, tetapi kegagalan menguruskan perbezaan dengan ilmu dan adab,” katanya.
Tambahnya, Islam memberikan panduan bahawa tugas kita bukan menghapuskan semua perbezaan, tetapi menguruskan perbezaan supaya ia tidak berubah menjadi perpecahan.
Ujarnya, dalam konteks kehidupan bernegara, prinsip tersebut sangat penting.
Dalam kerangka Fiqh al-Watan, kita boleh berpegang kepada prinsip ‘Kita tidak perlu sama dalam segala perkara untuk bersama dalam perkara yang membawa maslahat kepada agama, rakyat dan negara. –UTUSAN









