Noraniza Idris sahut cabaran Rizman Ruzaini turun berat badan menjelang konsert - Utusan Malaysia

Noraniza Idris sahut cabaran Rizman Ruzaini turun berat badan menjelang konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris, menyahut cabaran pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini untuk menurunkan berat badan sehingga 65 kilogram (kg) sebagai persediaan menjelang Konsert Gema Bumantara, Oktober depan.

Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani berkata, cabaran itu bukan sahaja menjadi motivasi untuk dirinya menjaga pemakanan, malah mendorongnya lebih bersungguh-sungguh menjalani persediaan fizikal dan mental sebelum berdepan pentas konsert berkenaan.

“Sekarang saya sudah 71kg, jadi tinggal enam kilogram lagi untuk mencapai 65kg. Saya rasa dalam tempoh sebulan ini sempat dan mungkin boleh menang cabaran itu sehingga 17 Oktober nanti, Insya-Allah.

“Rizman nak buat baju mengikut saiz 65kg. Kalau saya lebih berat, dia tak buat. Jadi, itu memang satu cabaran dan secara tidak langsung dia memotivasikan saya untuk lebih menjaga makan. InsyaAllah rasanya boleh,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas mengenai usahanya untuk mendapatkan berat badan diinginkan, penyanyi Hati Kama itu mendapatkan khidmat jurulatih peribadi.

“Saya sertai kelas fitness dan anak Kak Ani, Hafiq, sebagai personal trainer dua kali seminggu

“Saya ini kadang-kadang suka langgar makan. Doktor memang suruh utamakan protein lebih daripada karbohidrat.

“Kadang-kadang susah apabila berada di luar sebab kita akan tercari-cari juga makanan berkhasiat. Jadi sekarang Kak Ani lebih utamakan makanan sihat seperti protein tinggi, kemudian barulah pilih karbohidrat dan itu pun sedikit sahaja.

“Itulah yang membantu kepada penurunan berat badan,” katanya.

Dalam pada itu, Noraniza berkata, persediaan menghadapi Konsert Gema Bumantara dia turut mempertajamkan kualiti vokalnya.

“Bagi memperkemaskan persembahan vokal pula, Noraniza akan mengikuti kelas vokal tradisional bersama guru yang diiktiraf, termasuk Cikgu Azizul Hakim.

“Walaupun saya penyanyi lagu irama Malaysia, saya masih memerlukan tunjuk ajar daripada guru-guru yang diiktiraf seperti Cikgu Azizul Hakim.

“Dia membantu bukan hanya dari segi teknikal, tetapi juga bagaimana kita mahu melantunkan lagu-lagu irama Malaysia dalam sesebuah lagu,” katanya.

Walaupun sudah lama menyanyikan lagu tradisional, Noraniza mengakui gemuruh menghampiri hari konsert apalagi persembahan bakal menampilkan lagu dengan susunan baharu.

“Walaupun kita biasa menyanyikan lagu Hati Kama, tetapi dalam bentuk susunan baharu, suasana dan mood nyanyian memang berbeza sedikit kerana ia mengikut ritma, mood koreografi dan sebagainya.

“Jadi memang kita perlukan persediaan awal sebelum pergi ke latihan sebenar dengan muzik,” katanya.

Selain Noraniza Idris, Konsert Tradisional Gema Bumantara bakal menampilkan artis jemputan lain seperti Haziq Rosebi, Lesti Kejora, dan King Nassar.

Konsert tersebut bakal berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2026. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×