Setiap tahun, tempoh antara Julai hingga Oktober adalah fasa penting dalam pengurusan kewangan negara. Dalam tempoh ini, Kementerian Kewangan memperhalusi persediaan Belanjawan bagi tahun berikutnya dengan meneliti keutamaan perbelanjaan, kedudukan hasil kerajaan serta strategi fiskal yang perlu dilaksanakan.
Di sebalik pembentangan Belanjawan yang kita saksikan setiap tahun, terdapat proses perancangan yang panjang dan menyeluruh. Kerajaan perlu menentukan berapa banyak boleh dibelanjakan, dari mana hasil akan diperoleh dan apakah keutamaan yang perlu diberikan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Di Sebalik Angka Belanjawan
Belanjawan juga menunjukkan kedudukan fiskal kerajaan, sama ada negara mencatatkan defisit atau lebihan. Jika berlaku defisit, kerajaan perlu mendapatkan pembiayaan bagi menampung jurang antara hasil dan perbelanjaan yang dirancang.
Keputusan mengenai pembiayaan penting kerana ia bukan sahaja menentukan jumlah pinjaman kerajaan, malah mempunyai implikasi terhadap pengurusan fiskal dan kestabilan ekonomi makro negara.
Sekiranya pembiayaan diperoleh daripada sumber luar negara, khususnya dalam dolar Amerika Syarikat atau mata wang asing lain, ia turut membawa risiko pertukaran mata wang dan kedudukan hutang luar negara.
Namun, Malaysia secara relatifnya tidak banyak bergantung kepada pembiayaan luar negara dan pengurusan hutang kerajaan memberi keutamaan kepada instrumen dalam ringgit bagi mengurangkan pendedahan kepada risiko pertukaran asing. Oleh itu, persoalan hutang tidak seharusnya dilihat hanya daripada segi jumlahnya. Yang lebih penting sejauh mana pinjaman diurus secara berhemat, digunakan untuk tujuan produktif dan kekal pada tahap mampan.
Penyediaan belanjawan pula bukan proses yang dilakukan oleh Kementerian Kewangan secara bersendirian. Ia melibatkan input daripada kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta, industri, badan profesional serta institusi penyelidikan ekonomi.
Kerajaan lazimnya mengadakan dialog dengan persatuan industri dan perniagaan, persatuan profesional serta badan penyelidikan ekonomi seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Persatuan Ekonomi Malaysia (PEM) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).
Apa yang Belanjawan 2027 Perlu Capai
Belanjawan 2027 disediakan ketika ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan agak kukuh, walaupun persekitaran global masih berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik, perang Rusia-Ukraine dan turun naik harga komoditi.
Ekonomi negara berkembang 5.7 peratus pada separuh pertama 2026, manakala pertumbuhan suku kedua mencapai 6.0 peratus. Inflasi bagi tempoh Januari hingga Julai pula berada pada purata 1.8 peratus. Pasaran buruh turut menunjukkan keadaan yang positif dengan kadar pengangguran sekitar 3 peratus dan kadar penyertaan tenaga buruh 70.9 peratus.
Pelaburan, aktiviti sektor perkhidmatan dan pelancongan turut menyokong pertumbuhan. Dalam keadaan ini, Malaysia mempunyai ruang untuk merangka Belanjawan 2027 secara lebih strategik bukan sekadar mengekalkan pertumbuhan, tetapi meningkatkan kualitinya.
Pada pandangan saya, Belanjawan 2027 mempunyai peluang untuk membawa Malaysia lebih hampir kepada tahap ekonomi maju. Sasaran meningkatkan pendapatan per kapita negara kepada sekitar AS$15,000 satu matlamat yang boleh dicapai sekiranya momentum pertumbuhan, pelaburan dan peningkatan produktiviti dapat dikekalkan.
Namun, pertumbuhan ekonomi yang tinggi sahaja tidak mencukupi. Persoalan yang lebih penting, sejauh mana manfaat pembangunan diterjemahkan kepada pendapatan yang lebih baik, pekerjaan berkualiti dan taraf hidup yang lebih tinggi.
Soal pengagihan manfaat pembangunan juga tidak boleh dilupakan. Industri dan perniagaan kecil perlu terus diberi ruang untuk berkembang, manakala bantuan menangani kos sara hidup seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) perlu memastikan golongan yang memerlukan tidak tercicir.
Dalam keadaan harga minyak tinggi, hasil berkaitan petroleum berpotensi meningkat, tetapi pada masa sama kos tenaga dan subsidi juga boleh bertambah. Oleh itu, sebarang ruang fiskal yang wujud perlu diurus secara berhemat dan disalurkan kepada keutamaan pembangunan yang memberikan pulangan jangka panjang kepada ekonomi.
Reformasi Hasil dan Pelaburan Berkualiti
Dalam usaha memperkukuh kedudukan fiskal, kerajaan perlu terus mencari ruang meningkatkan hasil. Namun, usaha itu tidak boleh mengorbankan pertumbuhan ekonomi, daya saing industri atau menambah tekanan kos sara hidup rakyat.
Pendekatan menggabungkan atau menyesuaikan unsur SST dan GST wajar dikaji bagi membentuk sistem percukaian yang lebih cekap dan meluas tanpa mencetuskan tekanan inflasi yang tidak perlu.
Reformasi percukaian bukan semata-mata untuk mengutip lebih banyak hasil. Ia perlu meningkatkan hasil kerajaan sambil memastikan kos perniagaan kekal kompetitif dan pengguna tidak menanggung beban yang tidak perlu.
Kesan cukai secara berlapis atau cascading effect terhadap input pengeluaran juga perlu diberi perhatian. Cukai pada satu peringkat boleh menjadi kos pada peringkat berikutnya dan akhirnya meningkatkan kos pengeluaran serta harga kepada pengguna.
Dalam hal ini, MIER mencadangkan agar pengecualian cukai input tertentu dipertimbangkan, dengan syarat hasil keseluruhan kerajaan tidak terjejas. Pendekatan ini boleh membantu mengurangkan kos industri dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
Sistem yang baik adalah yang meningkatkan hasil tanpa mematikan insentif untuk melabur, mengembangkan perniagaan dan mencipta pekerjaan.
Sebagai bekas Pengerusi MIDA, saya mencadangkan agar Kementerian Kewangan mempertimbangkan peruntukan khas kepada MIDA untuk menarik industri berteknologi tinggi yang menawarkan nilai tambah, penggunaan teknologi canggih serta keperluan kemahiran yang tinggi.
Malaysia tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada jumlah modal yang dibawa masuk. Kita perlu memberi tumpuan kepada kualiti pelaburan pelaburan yang membawa teknologi baharu, meningkatkan produktiviti, membangunkan kemahiran pekerja tempatan dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
Industri berteknologi tinggi dan berkemahiran tinggi yang dibawa ke Malaysia boleh diberikan galakan industri yang khusus dan berbeza (special and differentiated incentives) berdasarkan nilai strategik yang dibawa kepada ekonomi negara.
Pendekatan ini bukan sekadar untuk menarik syarikat asing. Lebih penting, ia pelaburan strategik untuk membina keupayaan industri dan modal insan negara. Apabila industri berteknologi tinggi berkembang, pekerja tempatan mendapat peluang menguasai kemahiran baharu, manakala syarikat tempatan berpeluang menyertai rantaian bekalan bernilai lebih tinggi.
Malaysia memerlukan kelompok industri baharu yang berasaskan teknologi, inovasi dan kemahiran tinggi sebagai asas kepada fasa perindustrian seterusnya. Kita tidak seharusnya hanya bersaing untuk mendapatkan lebih banyak pelaburan; kita perlu bersaing untuk mendapatkan pelaburan yang lebih berkualiti.
Belanjawan 2027 boleh menyediakan pemangkin yang membolehkan Malaysia bukan sahaja menerima pelaburan, tetapi membina industri masa hadapan, meningkatkan kemahiran rakyat dan bergerak ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi.
Membina Ekonomi yang Kita Mahu
Akhirnya, Belanjawan 2027 bukan sekadar soal berapa banyak kerajaan membelanja dan berapa banyak hasil dikutip. Ia soal ekonomi seperti apa yang mahu kita bina.
Malaysia kini berada pada persimpangan penting. Asas ekonomi yang semakin kukuh memberikan kita ruang untuk bergerak lebih jauh, tetapi ruang tersebut perlu dimanfaatkan dengan strategi yang tepat.
Kita perlu terus memperkukuh kedudukan fiskal, memastikan pertumbuhan kekal inklusif dan pada masa sama mempercepatkan perubahan struktur ekonomi kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Kita juga perlu melihat melangkaui angka pertumbuhan tahunan. Persoalan yang lebih besar, apakah jenis industri yang mahu kita bina, apakah jenis pekerjaan yang mahu kita wujudkan dan apakah kemahiran yang mahu kita kuasai sebagai sebuah negara.
Dalam konteks itu, Belanjawan 2027 mempunyai peluang untuk menjadi belanjawan transformasi menghubungkan disiplin fiskal dengan pertumbuhan ekonomi, pelaburan dengan teknologi, dan pembangunan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat
Belanjawan yang baik bukan sekadar menjawab keperluan hari ini. Belanjawan yang baik membina keupayaan negara untuk menghadapi cabaran hari esok.
Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER)










