Kapal persiaran gergasi rempuh benteng laut - Utusan Malaysia

Kapal persiaran gergasi rempuh benteng laut

KAPAL persiaran gergasi rempuh benteng laut akibat angin kencang. - X/AccidentMoment


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Sebuah kapal persiaran berukuran 300 meter yang dalam perjalanan ke United Kingdom (UK) merempuh benteng laut ketika cuaca buruk dalam satu kejadian yang sempat dirakam kamera di sebuah pelabuhan di Perancis.

Rakaman video memaparkan kapal AIDAperla kendalian syarikat Jerman yang mampu membawa lebih 3,000 penumpang terbabas ke belakang menghala ke daratan selepas angin kencang menyebabkan tali tambatannya terputus di Pelabuhan Le Havre.

Meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi memperlahankan kapal gergasi seberat 125,000 tan itu serta menggerakkannya ke hadapan, ia tetap merempuh benteng konkrit berkenaan.

Akhbar BILD dan portal berita Jerman TAG24 melaporkan bahawa ribuan penumpang berada di dalam kapal berkenaan semasa kejadian berlaku.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kalangan penumpang.

Namun, mereka yang berada di darat tidak dapat menaiki semula kapal tersebut.

Kira-kira 500 nakal penumpang terpaksa kekal di dalam bas masing-masing sementara menunggu kapal berkenaan ditambat dan diperiksa semula dengan selamat.

Kapal itu dijadualkan membuat persinggahan seterusnya di Southampton.

Ia  sedang dalam pelayaran laluan tujuh hari bermula dari Hamburg dengan persinggahan di Rotterdam, Zeebrugge, Le Havre dan Southampton.

Kapal itu telah berlabuh di Le Havre pada pagi Selasa sebelum para penumpang meninggalkannya bagi menyertai pelbagai lawatan ke Paris dan destinasi lain.

Pihak berkuasa Perancis sebelum itu telah mengeluarkan amaran angin kencang susulan fenomena cuaca yang melintasi kawasan berkenaan dengan laporan tempatan menyatakan pelabuhan itu dilanda tiupan angin kencang sehingga 110 kilometer sejam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×