Harga diesel lebih RM26 segelen, tertinggi dalam sejarah AS - Utusan Malaysia

Harga diesel lebih RM26 segelen, tertinggi dalam sejarah AS

HARGA diesel mendekati paras baharu yang membimbangkan di Amerika Syarikat (AS). - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Harga purata diesel di Amerika Syarikat (AS) meningkat melebihi AS$6 (RM24.42) segelen atau 3.78 liter buat kali pertama pada Jumaat, menurut persatuan pengguna kenderaan AAA, didorong bekalan yang terhad susulan perang di Asia Barat.

Harga bahan api yang banyak digunakan dalam sektor pengangkutan jalan raya, pertanian dan pembinaan itu mencecah AS$6.06 (RM26.86) bagi setiap 3.78 liter, menurut persatuan berkenaan.

Ia  sekali gus memberi tekanan kepada Presiden AS, Donald Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada November, selepas beliau berjanji untuk memberikan kelegaan ekonomi kepada rakyat.

Harga diesel di AS semalam menghampiri paras baharu yang membimbangkan bagi industri pengangkutan iaitu AS$6 (RM24.45) bagi setiap 3.78 liter.

Ia bakal memberi kesan berantai kepada pengguna jika perniagaan mula menyerap peningkatan kos tenaga berkenaan.

Harga purata kebangsaan bagi 3.78 liter pada Khamis meningkat kepada AS$5.98 (RM24.37), iaitu melonjak 61 peratus berbanding AS$3.71 (RM15.12) bagi tempoh sama tahun lalu, menurut data daripada persatuan automotif AAA. 

Diesel digunakan secara meluas dalam sektor pengangkutan trak dan kereta api, sekali gus mempengaruhi kos pengangkutan barangan di seluruh AS, selain digunakan dalam sektor pembinaan dan pertanian.

Pakar-pakar ekonomi menyatakan bahawa pihak perniagaan secara umumnya masih menahan diri daripada memindahkan beban peningkatan harga diesel ini kepada pengguna. 

Namun, situasi itu dijangka bakal berubah sekiranya kos berkenaan kekal tinggi, kata Pakar Ekonomi Senior Amerika Utara di Capital Economics, Thomas Ryan.

“Peningkatan harga diesel merupakan sesuatu yang perlu dihadapi oleh isi rumah sekurang-kurangnya bagi baki tempoh tahun ini,” kata beliau kepada CBS News.

Kenaikan harga diesel sudah mula memberi kesan di peringkat borong, dengan Jabatan Tenaga Kerja mendapati pada Khamis bahawa lebih satu pertiga daripada lonjakan harga barangan bagi pihak pengeluar pada Ogos berpunca daripada peningkatan kos diesel, yang melambung 24.1 peratus bulan lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×