AHLI bijak dan pandai berkata, fizikal dan rupa paras adalah antara beberapa perkara yang tidak sepatutnya diucapkan mengenai seseorang. Namun, ada dalam kalangan orang kita yang gagal memahami perkara tersebut justeru bertindak memperlekehkan dan menghina apabila seseorang itu berbadan besar.
Perkara itu turut menghimpit penyanyi, Ranisha yang berbadan ‘comel’. Pernah rupa parasnya menjadi topik perbualan di Threads, dikatakan saiz badan menjadi penghalang terbesar untuk berjaya dalam industri seni tanah air.
Ranisha jauh sekali terasa apatah lagi mahu kecewa kerana perkara tersebut. Kata penyanyi berusia 26 tahun itu, jika terpaksa menurunkan berat badan pun adalah disebabkan tuntutan kesihatan, bukanlah ingin mengikut trend semasa atau memenuhi tuntutan pandangan manusia.
Tidak selamanya ingin berbadan ‘comel’, anak kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan ini enggan terburu-buru menurunkan berat badan hanya disebabkan rupa parasnya diperkatakan di media sosial.
“Saya menghargai diri saya seadanya. Bukan saya tidak pernah kurus, malah ketika menyertai Mentor sembilan tahun lalu, berat saya hanyalah sekitar 60 kilogram (kg).
“Saya sayangkan diri saya. Jadi, selesai sahaja program Big Stage x Rocketfuel, saya mungkin akan menjaga kesihatan, turunkan sedikit berat badan demi kebaikan pada masa akan datang.
“Selepas ini saya memilih untuk bersederhana, tidak terlalu kurus mahupun terlampau gemuk supaya tubuh saya masih mampu menyokong nyanyian dengan baik,” katanya kepada Pancaindera.
Ranisha atau nama penuhnya, Farranisha Shazwany Mohd. Faizul tidak menafikan tentang perubahan bakal dialami, lebih-lebih pada warna vokalnya sekiranya berat badan turun dalam keadaan mendadak.
Enggan perkara itu menimpa dirinya, dia memilih untuk menurunkan berat badan secara berfasa dan berkala agar tidak kehilangan identiti khususnya dalam seni suara.
“Berdasarkan pembacaan saya, penyanyi Barat ramai berbadan besar. Fizikal itu akan menyokong otot mereka apabila menyanyi. Contohnya Adelle, ketika awal kemunculannya dahulu, dia berbadan besar. Tetapi sekarang dia sudah kurus.
“Kalau diteliti, berlaku perubahan suara yang mana ketika bertubuh besar, ia kedengaran lebih ‘berat’ dan ‘bulat’.
“Namun apabila kurus, suaranya bertukar menjadi nipis. Perubahan berat badan memberi kesan kepada nyanyian.
“Tapi itu tidak bermaksud saya perlu kurus. Bagi saya, perubahan berat ini biarlah berlaku secara berfasa dan berkala, tidak mengejut kerana dikhuatiri akan identiti suara saya,” katanya lagi.
Ditanya mengenai komen-komen yang agak kasar mengenai bentuk badannya di media sosial, Ranisha berkata, dia menghormati setiap komen yang ditulis dan melihatnya dari sudut yang positif.
“Saya bersikap terbuka mengenai komen-komen negatif di Threads kerana setiap manusia ada pandangan masing-masing terhadap orang lain.
“Tetapi apa yang saya lakukan adalah mengambil positif setiap komen negatif yang dilemparkan kepada saya. Ada sebab mengapa netizen terburu-buru dalam melontarkan padangan. Mungkin mereka prihatin dan mahu melihat kita menyerlah dalam industri.
“Jadi, kita hanya perlu bermain psikologi kita sendiri, fikirkan yang positif kerana ia amat membantu,” ujarnya.
Pemenang tempat ketiga Big Stage x Rocketfuel ini sedar akan perjalanan jauh yang perlu ditempuhinya sebagai anak seni sebelum satu hari ini mungkin berdiri sama tinggi dengan penyanyi tersohor lain.
Namun, sedari awal pembabitan dalam dunia nyanyian, dia tidak pernah meletakkan populariti sebagai perkara yang menentukan kejayaan dalam bidang tersebut.
Sebaliknya, Ranisha mengukur kejayaan pada sudut seberapa banyak lagu yang ditulis dan kemudian dikongsikan kepada pendengar setia.
“Saya jadi penyanyi bukan sebab mahu tarik perhatian, tetapi ingin berkongsi karya kerana saya suka menulis lagu. Itu matlamat saya masuk ke dalam bidang ini.
“Saya tidak kisah tentang populariti kerana itu perkara yang dianggap bonus. Tidak mengapa kalau saya dikatakan tidak menyerlah atau penyanyi sendu, kerana yang saya inginkan bukan itu, sebaliknya berkongsi karya dengan mereka yang menghargai,” ujarnya.










