Buli bukan sahaja berlaku di zaman persekolahan, tetapi boleh berlaku di mana-mana sahaja. Ini termasuk di tempat kerja.
Bezanya pembulinya bukan lagi rakan sebaya yang ditemui di dalam kelas, tetapi rakan sekerja yang perlu dihadapi hampir setiap hari.
Ada yang suka merendahkan orang lain, memperlekehkan kemampuan rakan sekerja dan menggunakan kata-kata sinis dengan alasan sekadar bergurau.
Lebih menyedihkan, seseorang yang pernah menjadi mangsa buli ketika zaman kanak-kanak mungkin terpaksa berhadapan semula dengan orang sama apabila mereka bertemu di alam pekerjaan.
Begitulah kisah Imran, (bukan nama sebenar) yang dikongsikan minggu ini, lelaki yang pernah menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah.
Dia menyangkakan masa telah mengubah segalanya, namun apabila pembulinya muncul kembali dalam dunia pekerjaan, dia terpaksa berdepan dengan satu ujian yang jauh lebih besar.
Kali ini, dia bukan lagi seorang kanak-kanak lemah dan tidak tahu bagaimana melindungi diri, kini dia lebih dewasa, matang dan mampu memilih tindakan yang lebih bijak.
Kisah Imran diceritakan sendiri tuan punya badan dalam pertemuan diatur baru-baru ini.
Menurut Imran, dia tidak berniat mengungkit kisah silam, tetapi untuk diambil iktibar kerana setiap pengalaman boleh menjadi jalan untuk seseorang menjadi manusia lebih baik.
Membuka cerita, kata Imran bertahun-tahun dia cuba melupakan zaman kanak-kanaknya.
Luka dihati akibat dibuli masih terasa, tetapi dia memilih untuk meneruskan kehidupan.
Dia membesar menjadi seorang lelaki dewasa yang mempunyai pekerjaan dan kehidupan sendiri.
Dia menyangka kisahnya dengan lelaki itu, Sham, (bukan nama sebenar) telah berakhir.
Selepas bertahun-tahun membawa haluan masing-masing, mereka akhirnya bertemu semula dalam keadaan yang tidak pernah dijangka.
Kali ini bukan di sekolah, tetapi di sebuah tempat kerja baharu. Imran merupakan seorang pekerja berpengalaman dan menjadi senior kepada kakitangan lain.
Sehinggalah pada suatu hari seorang pekerja baharu diperkenalkan kepada pasukan mereka.
Sebaik melihat wajah lelaki itu kata Imran, hatinya berdegup kencang. Itulah pembuli di zaman kanak-kanaknya.
Selepas beberapa minggu bekerja di unit sama, dia semakin mengenali sikap lelaki itu.
Masa memang mengubah wajahnya, namun sikap Sham masih tidak berubah.
Menyambung cerita kata Imran, sejak kehadiran Sham di tempat kerja baharu, suasana pejabat perlahan-lahan berubah. Pada awalnya, tiada siapa benar-benar mengenal perangainya.
Sham kelihatan mesra, banyak bercakap dan mudah bergurau. Namun sikap sebenarnya mula terserlah dan rakan-rakan sekerja mula menyedari sesuatu.
Sham telah mula membawa budaya buli ke dalam tempat kerja. Lelaki itu suka merendah-rendahkan orang lain.
Apabila rakan sekerja lain memberi pendapat dalam mesyuarat, Sham dengan sengaja memotong percakapan dan cuba memperlekehkan. Apabila ada rakan sekerja lain berjaya menyelesaikan tugasan lebih awal, lelaki tu cuba menidakkan kemampuan mereka.
Jika ada seorang rakan yang melakukan sedikit kesilapan, ia akan dijadikan bahan ketawa lelaki itu. Menurut Imran dia memerhatikan semua yang berlaku.
Dia semakin faham mengapa dahulu dirinya berasa tidak berguna dan tidak dihargai.
Pembuli itu hanya bertukar mangsa . Dahulu di sekolah kini di tempat kerja.
“Saya cuba bersabar dan menganggap semuanya akan berakhir. Tetapi lama kelamaan saya dapati Sham sedang mengulangi corak yang sama.
“Dahulu dia seorang pembuli kanak-kanak, kini dia cuba melakukan perkara sama kepada orang dewasa,” ujarnya.
Apa yang membezakan kata Imran, kali ini dia tidak mahu lagi menjaga mangsa yang melihat dan hanya berdiam diri.
Pada awalnya kata Imran, hatinya terdetik untuk membalas dendam dan mencari peluang memalukan lelaki itu.
“Ketika itu saya hanya berfikir untuk membalas segala perbuatannya dahulu. Saya mahu dia merasakan apa yang saya pernah rasa dahulu.
“Niat saya bukan untuk sekadar mendapatkan keadilan, tetapi juga menjatuhkan lelaki itu.
Saya mahu semua orang di tempat kerja, tahu siapa sebenarnya lelaki itu. Saya mahu pembuli itu merasa malu seperti dia dimalukan dahulu,” ujarnya.
Namun kata Imran, semakin dia memikirkan tentang dendam, semakin dia sedar dendam itu hanya membuatkan hatinya tidak pernah tenang.
Setiap kali dia mahu melakukan sesuatu untuk membalas perbuatan lelaki itu, dia teringat sesuatu.
Dia teringat pesan ibunya dan pernah berjanji kepada dirinya sendiri untuk tidak menjadi seperti lelaki itu.
Sebagai pekerja senior, dia sedar bahawa dia tidak boleh berdiam diri dan memilih untuk menghentikan budaya buli itu.
Dia pernah merasai sendiri bagaimana sakitnya dihina, dipermalukan dan buat diri berasa tidak berharga. Kini dia melihat perkara sama berlaku kepada rakan-rakan sekerjanya. Dia tidak mahu pengalaman pahit yang pernah dilalui dijadikan alasan untuk membalas dendam.
Sebaliknya, pengalaman itu menjadi sebab untuk dia bertindak.
Dia tidak mahu orang yang pernah membulinya terus mengawal hidupnya dan orang lain.
Katanya, dia mahu menghentikan budaya buli di tempat kerja dan tidak akan membenarkan perlakuan salah terus dianggap normal.
“Saya tidak mahu orang lain terus menjadi mangsanya. Keberanian untuk bersuara membuatkan orang lain tahu mereka tidak perlu berdiam diri apabila diperlakukan tidak adil oleh seseorang yang lain,” ujarnya.
Di tempat kerja, dia memberi ruang kepada pekerja yang menjadi mangsa untuk bercakap dan mendapatkan bantuan.
Jika berlaku perkara sama, dia memastikan ia dibawa kepada pihak pengurusan melalui saluran yang betul.
Dia menggunakan kedudukannya sebagai senior bukan untuk menghukum pembuli itu sesuka hati, tetapi menggunakan pengaruhnya untuk melindungi mangsa.
Sambung Imran lagi, akhirnya dia memahami satu perkara. Orang yang tidak pernah mahu berubah akan membawa perangai ke mana sahaja .
Tukar sekolah, seseorang itu tetap membuli. Tukar tempat kerja, seseorang itu tetap mengulangi sikap sama. Masalah itu sebenarnya bukan pada tempat tetapi pada sikap dan hati yang tidak mahu berubah.
Kisah Imran mengajar satu perkara, dia mungkin tidak mampu mengubah lelaki itu, tetapi dia ada pilihan untuk tidak menjadi seperti lelaki itu. Walaupun dia memaafkan, dia tidak akan membiarkan lelaki itu melakukan perkara sama kepada orang lain .
Pengajaran daripada kisah dikongsikan minggu ini seiring dengan Firman Allah SWT, “Jika kau berbuat baik (bererti )kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri,”- ( Al Isra 7).










