Sekali sampai Betong, pasti nak datang lagi

Sekali sampai Betong, pasti nak datang lagi

TEROWONG Mongkollit dihiasi lampu warna ungu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOTOR color? Tanya pegawai imigresen Thailand dalam bahasa Inggeris pelat Siam kepada saya.

Saya yang pertama kali membawa masuk kenderaan sendiri ke Thailand tidak sangka soalan sedemikian akan ditanya. Rupa-rupanya itu soalan wajib untuk setiap penunggang atau pemandu warga asing.

Hinggakan terdapat kertas dicetak perkataan Car/Motorcycle Color ditampal di kaunter, ditunjukkan dengan jari setiap kali pegawai imigresen itu bertanya. Pegawai imigresen atau kastam Thailand akan membandingkan warna kenderaan dengan maklumat terdapat dalam geran.

Mereka boleh menolak kemasukan kenderaan kita jika maklumat tidak sama kerana dikhuatiri klon atau seludup. Patutlah beberapa hari sebelum ke Betong, dua tiga kali rakan saya, Yusri Azam beria-ia mengingatkan saya supaya pastikan tahu warna motosikal.

Selesai semua dokumen diserahkan, lega bukan kepalang apabila dengar pasport dicap lalu dipulangkan kepada saya. Mana-mana pengembara pun pastinya itu momen paling mendebarkan, iaitu tunggu pasport disemak pegawai imigresen.

PENULIS (kiri) bersama rakan, Yusri Azam merakamkan kenangan di batu tanda sempadan Malaysia-Thailand sebelum memasuki Betong.

Yusri Azam berkata, nasib saya memang cukup baik hari itu, tidak sampai 10 minit selesai urusan di kaunter imigresen dan kastam Thailand. Dia yang pernah beberapa kali ke situ memberitahu, kadang-kadang hampir sejam jugalah terpaksa berbaris.

Ini pertama kali saya ke bandar dalam wilayah Yala itu. Betong menjadi destinasi saya untuk menunggang motosikal, nak healing macam budak-budak sekarang cakap, nak lari sekejap daripada kesibukan metropolitan.

Lagipun tidak jauh sangat pun dari ibu negara, tidak sampai 400 kilometer (km). Saya bertolak 7.30 pagi, pukul 2 petang sudah sampai di sempadan.

Ambil masa lebih enam jam termasuk berhenti sarapan, makan tengah hari, isi minyak, berehat serta hisap rokok. Menunggang perlahan-lahan memasuki Betong, hati masih berdebar.

Risau sukar nak berkomunikasi dengan orang tempatan, takut macam ayam dengan itik bercakap. Sebelum ini di Hatyai dan Phuket, pernah naik angin juga sebab guna bahasa Inggeris pun kadang-kadang mereka masih tidak faham.

MENARA Jam Betong
di tengah-tengah bandar dilihat dari atas bukit.

Namun, telahan saya meleset. Ketika membeli kad SIM prabayar, saya boleh cakap Melayu sahaja dengan gadis yang menjualnya, malah boleh guna wang kertas Ringgit Malaysia lagi.

Begitu juga semasa mendaftar masuk hotel, fasih sahaja staf-staf di situ berbahasa Melayu loghat utara atau Kelantan. Sebenarnya keadaan sedemikian tidak menghairankan kerana Kesultanan Patani iaitu kerajaan Melayu dahulu pernah bertapak di situ.

Bagaimanapun, selepas Perjanjian Bangkok ditandatangani pada 1909, Thailand menyerahkan hak penguasaan ke atas Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada British manakala Patani, Yala, Narathiwat dan Satun kekal di bawah negara Gajah Putih.

Persempadanan moden ini menyebabkan sosiodemografi masyarakat Melayu di utara Semenanjung dan selatan Thailand terpisah.

Dan sehingga sekarang pun dikatakan penduduk di kedua-dua kawasan ini masih ada hubungan kekeluargaan serta persaudaraan yang rapat. Selain itu, faktor aktiviti perdagangan dan pelancongan yang rancak khususnya daripada rakyat Malaysia turut memainkan peranan.

PETI surat terbesar di Thailand yang dibina pada 1924 pernah berfungsi sebagai radio untuk penduduk Betong mendapatkan maklumat semasa.

Di Betong, banyak geng motosikal termasuk dari Singapura yang kami temui. Pelbagai kapasiti enjin, kecil, besar, skuter, kapcai, semua ada, sudah macam karnival bike week pula.

Kami sewa dua skuter untuk ronda-ronda pekan Betong. Tidak mahal sangat, 300 Baht atau kira-kira RM35 sehari.

Jarak dari tempat penginapan ke pusat bandar pun tidak jauh, dalam dua km sahaja. Apa yang mengejutkan saya, hampir semua penunggang dan pembonceng tidak pakai topi keledar apabila masuk dalam pusat bandar!

Anggota penguat kuasanya dilihat ada budi bicara, tidak terlalu bersikap tegas, asalkan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Berbeza keadaan di Hatyai yang kecoh baru-baru ini di mana ramai penunggang motosikal dari Malaysia dikenakan saman kerana melanggar peraturan seperti ekzos bising, tiada lesen memandu fizikal, nombor plat tidak ikut spesifikasi, menunggang berkumpulan hingga menghalang trafik dan banyak lagi.

Sikap pegawai penguat kuasa di Betong yang mesra pelancong sebeginilah yang membuatkan saya nak datang lagi dan lagi ke situ pada masa akan datang. Yalah, kunjungan pertama kali ini sekadar menginap satu malam, mana sempat nak jelajah seluruh Yala!

Jika anda sudah sampai di Betong, jangan lupa kunjungi 10 lokasi paling popular pilihan pelancong antara 2024 hingga 2025 iaitu Jejantas Udara Aiyerweng; Terowong Mongkollit; Menara Jam Betong; Kolam Air Panas Piyamit; Restoran Nan AA.

Juga Taman Bunga Musim Sejuk; Kedai Betong Route 410; Restoran Hantana; simbol OK Betong; Patung Ayam Betong.

Saya sempat lawat empat sahaja sebab kesuntukan masa. Insya-Allah, ada rezeki singgah yang lain pula.

Jangan lupa juga rakam gambar di peti surat terbesar di Thailand berukur keliling 140 sentimeter dan tinggi 290 sentimeter. Dibina pada 1924, ia pernah berfungsi sebagai radio di bahagian atasnya untuk penduduk Betong mendapatkan maklumat semasa manakala peti surat di bahagian bawah.

Daripada pengamatan saya, bandar Betong terbahagi kepada dua kawasan, iaitu yang dihuni penduduk Islam dan satu lagi oleh bukan Islam. Jauh sedikit dari pusat bandar atau pinggiran, majoriti penduduknya beragama Islam.

Seperti resort saya di Jalan Prachatiphat, banyak perkampungan Melayu di sekelilingnya dan menjadi pilihan ramai pelancong Malaysia. Nak cari makanan halal senang, kedai serbaneka 24 jam banyak, surau serta masjid pun dekat.

Berbeza di tengah-tengah bandar yang dipengaruhi kepercayaan Buddha. Premis-premis komersial pula banyak diusahakan oleh peniaga keturunan Cina.

Untuk yang kaki makan, bandar ini umpama ‘syurga’ buat mereka. Banyak restoran halal yang menyajikan hidangan sedap-sedap, murah pula.

Selepas 24 jam berada di Betong, saya meninggalkan bandar yang berasal daripada perkataan ‘betung’ (buluh) itu. Ternyata Betong ada vibe tersendiri yang unik dan menarik.

Suasananya berbeza dengan Hatyai, Phuket, Pattaya dan Bangkok yang pernah saya kunjungi. Jer gan mai ná (jumpa lagi), Betong!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×