BEIRUT: Gempa bumi bermagnitud 4.1 direkodkan di selatan Lubnan, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada Khamis selepas beberapa letupan besar dilaporkan ketika Israel berkata, ia sedang memusnahkan infrastruktur bawah tanah Hizbullah.
Wartawan AFP melaporkan satu letupan besar yang menyebabkan gegaran, manakala Kementerian Pertahanan Israel mengeluarkan imej menunjukkan bebola api menjulang ke langit.
Letupan itu berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa rejim Zionis mendakwa telah menguasai rabung Ali al-Taher, dengan menyatakan Hizbullah yang disokong Iran menggali banyak terowong di kawasan itu bagi membolehkannya menyerang Israel dari kawasan pergunungan berkenaan.
Tentera Israel menduduki sebahagian kawasan selatan Lubnan, dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, beliau mahu mewujudkan zon keselamatan bagi menghalang sebarang serangan terhadap utara negaranya.
“Ini adalah infrastruktur keganasan strategik yang dibina selama lebih dua dekad, dengan pembiayaan dan perancangan Iran,” kata Netanyahu dan Menteri Pertahanan. Israel Katz dalam kenyataan bersama.
Kemusnahan itu melengkapkan penguasaan operasi ke atas rabung Ali al-Taher di atas dan di bawah tanah, tambah kenyataan tersebut.
Menurut USGS, gegaran bermagnitud 4.1 di kawasan berkenaan, selepas Agensi Berita Nasional (NNA) milik kerajaan Lubnan melaporkan Israel melancarkan letupan besar-besaran di rabung Ali al-Taher di wilayah Nabatieh menyebabkan gegaran dan dentuman kuat.
“Kami sedang duduk dan semuanya bergegar,” kata Joelle Fares, yang baru berpindah ke Majayoun, kepada AFP.
Israel mengumumkan minggu lalu bahawa tenteranya telah menawan rabung Ali al-Taher.
Tentera Israel berkata, infrastruktur Hizbullah itu terbentang lebih dua kilometer dan mengandungi berpuluh-puluh roket, peluru berpandu dan dron buatan Iran, selain mesingan, berpuluh-puluh peluru berpandu antikereta kebal, ratusan periuk api serta bahan letupan.
Wartawan AFP di selatan Lubnan turut berkata, mereka mendengar letupan besar pada petang Khamis.
Kompleks bawah tanah itu turut menempatkan pusat pemerintahan unit Badr Hizbullah, tambah tentera Israel.
Seorang pegawai tentera memberitahu AFP bahawa sebahagian anggota kumpulan bersenjata yang beroperasi di kawasan rabung itu telah meninggalkannya, manakala yang lain dibunuh dalam serangan udara dan tembakan artileri. – AFP










