Lelaki terjun sungai untuk ambil bot ditemui lemas

Lelaki terjun sungai untuk ambil bot ditemui lemas

MAYAT lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Perak di Batu 18, Kampung Kuchai, Bota Kiri di Parit, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Hasrat seorang lelaki mendapatkan semula botnya yang hanyut bertukar tragedi apabila dia ditemukan lemas selepas terjun ke Sungai Perak di Batu 18, Kampung Kuchai, Bota Kiri di sini, semalam.

Mayat lelaki berusia 38 tahun itu ditemukan terapung kira-kira empat kilometer dari lokasi dia terjun pada pukul 2 petang selepas operasi pencarian dilakukan sejak petang sebelumnya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi pencarian membabitkan 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dan BBP Kampung Gajah termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Unit K9.

Katanya, pencarian pada awalnya dilakukan menggunakan teknik carian di permukaan dengan bantuan sebuah bot dan Unit K9 dalam radius sehingga enam kilometer sepanjang sungai.

“Operasi kemudian diperluaskan ke kiri dan kanan tebing sungai menggunakan teknik mengikut arus, selain penyelaman di beberapa lokasi tumpuan yang dikenal pasti.

“Pada pukul 2 petang, anggota PPDA menemukan mangsa dalam keadaan terapung kira-kira empat kilometer dari lokasi dia terjun,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudian diangkat ke dalam bot sebelum dibawa ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas terjun ke dalam sungai untuk mendapatkan semula botnya yang hanyut dari sangkar ikan di tebing Sungai Perak.

Anak saudara mangsa cuba menghulurkan bantuan, namun gagal menyelamatkannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×