ISLAMABAD: Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif berkata, sebarang serangan ke atas Arab Saudi boleh mengaktifkan Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah yang baharu ditandatangani, beberapa hari selepas beberapa bandar menjadi sasaran peluru berpandu kumpulan Houthi di Yemen.
Pada Selasa, Houthi melancarkan serangan di selatan Arab Saudi, menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang cedera ketika pertempuran semakin memuncak antara kumpulan proksi Iran itu dan pasukan yang setia kepada kerajaan Yemen selain diiktiraf antarabangsa serta disokong Riyadh.
“Jika berlaku pencerobohan tanpa provokasi atau apa sahaja yang berlaku di Yeman merebak ke Arab Saudi, sudah tentu Perjanjian Mekah yang akan mula berkuat kuasa.
“Tiada keraguan mengenai perkara itu. Kami terikat dengan terma dan syarat pakatan ini dan kami akan mematuhinya sekiranya diperlukan,” katanya kepada media Pakistan, Geo News,
Pemimpin Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan pada bulan lalu menandatangani Perjanjian Mekah, yang komited untuk memperkukuh pencegahan secara bersama terhadap sebarang bentuk pencerobohan.
Perjanjian itu mempunyai persamaan dengan peruntukan utama dalam perjanjian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di mana serangan terhadap mana-mana satu anggota dianggap sebagai serangan terhadap keseluruhan kumpulan, walaupun mekanisme tepat bagi melaksanakan ikrar itu masih belum diperincikan.
Perjanjian itu dipersetujui ketika ketiga-tiga negara berdepan ketegangan serantau yang semakin meningkat, termasuk kebimbangan terhadap kemampuan ketenteraan Israel yang semakin berkembang dan pengaruh Iran semakin meluas di seluruh Asia Barat.
Secara keseluruhan, Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan mempunyai hampir 1.4 juta anggota tentera aktif, kira-kira 3,400 pesawat tentera, 6,000 kereta kebal dan lebih 340 aset tentera laut, menurut Indeks Global Firepower 2026 yang menilai kekuatan ketenteraan 145 negara.
Pada Rabu, stesen televisyen kendalian Houthi, Al Masirah TV melaporkan pesawat perang Arab Saudi melancarkan beberapa siri serangan udara di wilayah Marib, al-Jawf dan Taiz di Yemen.
Menurut laporan itu, lima serangan udara menyasarkan daerah Khab wa Sha’af di al-Jawf, 10 lagi serangan menyasarkan kawasan di daerah Sirwah di Marib, manakala lima serangan mengenai kawasan al-Barh di Taiz.
Pertempuran yang berterusan itu merupakan peningkatan konflik paling serius sejak gencatan senjata yang dipelopori Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghentikan pertempuran berskala besar pada 2022.
Houthi sebelum ini mengisytiharkan sekatan terhadap kapal-kapal Arab Saudi yang melalui laluan bagi perkapalan antara Laut Merah dan Teluk Aden.










