UPM terjemah keprihatinan kelestarian

UPM terjemah keprihatinan kelestarian menerusi Blueprint Kesihatan Planet

AHMAD FARHAN MOHD. SADULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Universiti Putra Malaysia (UPM) menterjemahkan keprihatinannya terhadap kelestarian menerusi penerbitan UPM Planetary Health and Sustainability Blueprint, yang menghubungkan kekuatan penyelidikan, pendidikan dan kerjasama masyarakat bagi menangani cabaran kesihatan planet.

Blueprint ini menggariskan komitmen universiti untuk membawa ilmu kepada tindakan yang memberi manfaat kepada manusia, haiwan dan alam sekitar. Tumpuannya merangkumi penyelesaian berasaskan sains, pembudayaan amalan lestari serta kerjasama yang membolehkan hasil penyelidikan digunakan dalam kehidupan masyarakat.

Usaha ini selari dengan Pelan Strategik UPM 2026–2030 yang meletakkan Kesihatan Planet dan Kelestarian sebagai Domain Strategik 2. Melalui domain tersebut, UPM menjadikan urus selia planet atau Planetary Stewardship sebagai falsafah teras institusi, dengan aspirasi membudayakan cara hidup lestari. Tumpuannya meliputi sosioekonomi, keterjaminan makanan, biodiversiti, kesihatan dan kesejahteraan serta tenaga dan air yang saling berkaitan dalam kehidupan.

Hubungan ini penting kerana perubahan iklim, kemerosotan ekosistem dan pencemaran saling berkait dengan kehidupan manusia. Gangguan terhadap alam sekitar boleh menjejaskan pengeluaran makanan, sumber air dan mata pencarian masyarakat, sekali gus menuntut penyelesaian yang menggabungkan pelbagai bidang kepakaran.

Konsep kesihatan planet menekankan bahawa kesejahteraan manusia bergantung pada keupayaan sistem semula jadi bumi menyokong kehidupan. Pendekatan One Health yang menghubungkan kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar turut menjadi asas penting dalam memahami hubungan ini secara menyeluruh.

Bagi UPM, agenda berkenaan merupakan kesinambungan peranannya dalam pertanian dan keterjaminan makanan. Bekalan makanan yang mencukupi memerlukan tanah yang sihat, air berkualiti, biodiversiti terpelihara dan sumber semula jadi yang diurus secara bertanggungjawab. Justeru, usaha menjamin makanan perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan alam.

Keutamaan ini turut menghubungkan blueprint tersebut dengan Domain Strategik 1, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dalam pelan strategik universiti. Kedua-dua domain saling menyokong usaha membangunkan sistem pertanian yang berdaya tahan dan lestari demi kehidupan masyarakat yang berkualiti.

UPM mempunyai kekuatan untuk menggerakkan agenda ini melalui kepakaran dalam pertanian, perubatan, sains kesihatan, perubatan veterinar, kejuruteraan, bioteknologi, alam sekitar, ekonomi dan sains sosial. Gabungan bidang tersebut membolehkan sesuatu cabaran diteliti daripada sudut teknologi, kesihatan, ekonomi dan keperluan komuniti.

Hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada teknologi, amalan terbaik dan cadangan dasar yang boleh dimanfaatkan kerajaan, industri serta masyarakat. Sehubungan itu, pemindahan ilmu, pengkomersialan teknologi dan kerjasama strategik menjadi saluran penting untuk membawa penyelesaian universiti kepada pengguna sebenar.

Di peringkat kampus, UPM berhasrat membangunkan planet-positive campus yang mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan menyediakan ruang menguji penyelesaian lestari. Kampus boleh berfungsi sebagai makmal kehidupan atau living laboratory dengan mengintegrasikan penyelidikan, pendidikan dan amalan harian warga universiti.

Pendekatan ini merangkumi pengurusan tenaga, air, sisa, mobiliti dan biodiversiti. Pelajar serta warga kampus berpeluang memahami kelestarian melalui pengalaman, sekali gus menjadikan tanggungjawab terhadap alam sebahagian daripada budaya universiti.

Hasrat tersebut seiring dengan penekanan pelan strategik terhadap pendidikan berkualiti, penyelidikan transdisiplin berimpak dan pembangunan UPM sebagai ekosistem mesra alam. Kearifan tempatan juga diberi tempat sebagai sumber pengetahuan untuk membantu masyarakat melaksanakan perubahan yang sesuai dengan keadaan setempat.

Pembangunan graduan turut menjadi perhatian. UPM mahu melahirkan individu yang cemerlang dalam bidang masing-masing serta memahami tanggungjawab ilmu terhadap masyarakat dan bumi. Kesedaran ini penting supaya amalan lestari terus dibawa ke tempat kerja dan komuniti selepas mereka menamatkan pengajian.

Pelaksanaan blueprint akan disokong ukuran prestasi yang jelas, meliputi penyelidikan, inovasi, pembangunan komuniti, kesejahteraan warga kampus dan pengurangan kesan terhadap alam sekitar. Pemantauan membolehkan universiti menilai perubahan yang terhasil serta menambah baik pelaksanaan secara berterusan.

Kejayaan agenda ini memerlukan penglibatan kerajaan, industri, pembuat dasar, badan bukan kerajaan dan komuniti. Penyelidikan bersama, perkongsian data dan pemindahan ilmu dapat membantu penyelesaian diperluas mengikut keperluan masyarakat.

Berteraskan semangat Berilmu Berbakti, penerbitan blueprint ini menegaskan kesungguhan UPM menjadikan kelestarian sebahagian daripada tanggungjawab universiti. Ilmu dan kepakaran digerakkan untuk memelihara bumi kerana kesejahteraan manusia hari ini serta masa depan generasi seterusnya bergantung pada kesihatan planet yang dikongsi bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×