KOTA BHARU: Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 dijangka dikuatkuasakan sepenuhnya bermula Januari 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, enakmen berkenaan dalam proses untuk mendapatkan perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Menurutnya, penguatkuasaannya hanya akan dilaksanakan apabila semua perkara berkaitan selesai dilakukan.
“Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 kini dalam proses untuk mendapat perkenan Tuanku dan dijangka akan dapat dikuatkuasakan sepenuhnya pada awal tahun depan.
“Kita perlu menyelesaikan dahulu perkara-perkara bersangkutan seperti penerangan, kaedah-kaedah dan sebagainya, sebelum ia dikuatkuasakan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Mohd. Asri berkata, usaha mencabar Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 akan lebih sukar berbanding yang pernah dilakukan ke atas Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 (EKJS 2019).
Katanya, ini kerana penggubalan Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 telah mengambil kira beberapa aspek penting berdasarkan pengalaman dilalui semasa Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 seksyen EKJS 2019 pada Februari 2024.
“Cabaran kepada Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 dilihat lebih sukar kerana kita telah mengambil kira keputusan-keputusan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
“Cabaran undang-undang ke atas enakmen baharu ini juga tidak akan melibatkan keseluruhan enakmen. Jadi pelaksanaan enakmen tersebut masih relevan,” katanya.
Sebelum ini, peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid menyatakan sekurang-kurangnya 11 peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 berpotensi dicabar.
Meskipun tidak bercadang mencabar, Nik Elin Zurina berkata, wakil rakyat di Kelantan tidak menggubal undang-undang itu dengan lebih baik. – UTUSAN










