'Alex layan Zainol sampai dekat syurga' - Utusan Malaysia

‘Alex layan Zainol sampai dekat syurga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Alex layan Zainol sampai dekat syurga, eh. Tolong tengokkan Zainol kalau dia buat perangai, roger.”

Demikian luahan Izzati Syamimi, isteri kepada juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, yang terbunuh dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Ulu Baram, Sarawak, kelmarin buat sahabat suaminya, Alexson Adit Henry, 31, yang turut terkorban dalam kejadian itu.

Luahan itu dikongsikan Izzati menerusi ruangan komen hantaran Thread isteri Alexson, Stephanie Essah, susulan tragedi helikopter terhempas berhampiran pangkalan udara Long Lellang itu yang menyaksikan tiga petugas Kementerian Kesihatan (KKM) turut terbunuh.

Mereka adalah Pegawai Perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; Jururawat Masyarakat Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Dalam hantaran itu, Stephanie berkongsi gambar mereka sekeluarga membabitkan dirinya, suami dan dua anak mereka, Candy dan Ivan.

“Gambar terakhir kami bersama sebagai sebuah keluarga. Terima kasih untuk segala-galanya, sayang. Ketahuilah bahawa saya sentiasa menyayangi awak, begitu juga anak-anak kita.

“Candy dan Ivan sangat menyayangi awak. Mereka bangga mempunyai ayah seperti awak, wira sebenar kami. Terbanglah tinggi dan berehatlah dengan tenang. Jumpa lagi dalam kehidupan lain. Sayang, daripada mummy,” katanya.

Perkongsian dan komen menyayat hati itu meraih simpati pengguna lain yang turut menyampaikan ucapan takziah dan kata-kata semangat buat Izzati dan Stephanie.

“Masya-Allah.. isteri-isteri yang kuat, …Allah uji sebab Allah yakin hamba yang terpilih mampu hadapi, …..salam takziah sis ….semoga dipermudahkan urusan anda semua,” kata pengguna @daadiiduu_aryanarissa.

Sementara itu, seorang rakan Alexson menyifatkan mendiang sebagai sahabat baik yang dikenalinya sejak zaman persekolahan di Sibu, Sarawak.

Menerusi komen di ruangan hantaran Threads oleh balu Alexson, Stephanie Essah, beliau berkata, mereka kemudian menjadi rakan sebilik pada semester pertama di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Samarahan, selain sering bermain permainan dalam talian bersama.

“Alex seorang sahabat yang baik. Kenal semasa sekolah menengah di Sibu, rakan sebilik semasa semester pertama di UiTM Samarahan dan sama main dota.

“Salam takziah puan. Saya dengar berita dia jam 2 pagi pun, dah tak dapat tidur kenangkan apa yang keluarga dia rasa. Tetap kuat puan,” katanya.

Menerusi hantaran di Threads itu, Stephanie menyifatkan kehilangan suaminya itu adalah titik terendah dalam hidup.

“Titik terendah. Saya kehilangan suami, anak-anak saya pula kehilangan ayah mereka,” demikian luahan pilu Stephanie.

Hantaran itu meraih simpati pengguna lain yang turut menyampaikan ucapan takziah dan kata-kata semangat buat Stephanie.

“Saya tau, kesedihan kami tidak akan sama dengan rasa sedih kamu sekeluarga. Saya doakan puan dan keluarga diberi ketabahan dan kekuatan menjalani kehidupan hari-hari mendatang,” kata pengguna, @vavavroo.

“Tetap kuat. Kuatkan diri demi anak-anak kamu,” kata @caaaaacha_ .

Pengguna, @idalan98 turut menyampaikan ucapan takziah dan mendoakan isteri, anak serta ahli keluarga mangsa diberikan ketabahan dalam menghadapi saat sukar dan menyedihkan berikutan kejadian itu.

“Semoga diberi kelapangan hati. Mendiang seorang yang sangat baik dan berbakti membantu pesakit di kawasan pedalaman dan tak semua mampu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×