PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud hari ini bagi membincangkan usaha ke arah memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, pertemuan itu merangkumi sokongan Persekutuan dalam beberapa bidang termasuk infrastruktur, ekonomi, pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan dan kemudahan sosial.
“Kami membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dan perpaduan antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“(Ini) termasuk sokongan dalam pelbagai sektor, seperti infrastruktur, ekonomi, pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan dan kemudahan sosial bagi memastikan pembangunan negeri berjalan dengan lancar.
“Insya-Allah, kerjasama ini akan terus diperkukuh demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Kelantan,” katanya hari ini. – UTUSAN










