Keadilan tidak wajar ditentukan juri

Keadilan tidak wajar ditentukan juri

KEPUTUSAN Malaysia memansuhkan sistem juri wajar dilihat sebagai langkah tepat bagi memastikan kes jenayah diputuskan berdasarkan undang-undang, bukti dan pertimbangan hakim yang terlatih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PERBICARAAN dengan juri… seringkali mengakibatkan perbicaraan yang berlanjutan lantaran kerumitan untuk mendapatkan orang-orang yang layak bagi menjadi juri… 

“Salah satu sebab keengganan orang awam memikul tanggungjawab tersebut ialah kerana mereka takutkan pembalasan dendam yang akan diterima dan tidak mahu menanggung beban menghantar tertuduh ke tali gantung. 

“Perbicaraan dengan juri juga seringkali membawa kepada isu-isu teknikal yang sukar difahami oleh para juri… 

“Secara keseluruhannya, berasaskan kepada fakta-fakta yang dinyatakan tadi, maka tidak syak lagi bahawa penghapusan sistem juri… bukan sahaja akan dapat melicinkan lagi prosiding perbicaraan, malah akan membantu menyegerakan penyelesaian kes-kes di mahkamah serta dapat pula menjimatkan masa, sumber dan tenaga di peringkat Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi.” –Tan Sri Syed Hamid Albar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang dalam perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kanun Prosedur Jenayah (Pindaan) 1994 bacaan kali kedua pada 21 Disember 1994.

Di Malaysia, perbicaraan menggunakan sistem juri telahpun dimansuhkan pada Januari 1995. 

Sebelum itu, sistem juri terpakai di Semenanjung Malaysia berasaskan peruntukan Seksyen 199A Bab 22 Kanun Prosedur Jenayah (F.M.S. Cap 6). Manakala di Sabah dan Sarawak, sistem ini dikenali sebagai sistem pengapit berasaskan peruntukan Seksyen 183A Bab 21 Kanun Prosedur Jenayah.

Kedua-dua sistem ini terpakai bagi semua perbicaraan bagi kesalahan-kesalahan yang boleh membawa hukuman mati. Pun begitu, pada amalannya terpakai hanya untuk kes bunuh.

Tugas para juri dalam sebarang perbicaraan kes adalah membuat dapatan berkenaan isu fakta manakala hakim pula membuat keputusan tentang isu undang-undang. 

Namun, ada kala isu fakta dan perundangan bercantum serta tidak dapat dibezakan oleh para juri walaupun diterangkan oleh hakim semasa beliau menggulung perbicaraan. Keadaan ini sering mengakibatkan ketidakadilan penghakiman semata-mata atas alasan teknikal sahaja. 

Ada kalanya para juri membebas dan melepaskan tertuduh meskipun fakta-fakta yang dibentangkan sepanjang perbicaraan berjalan menunjukkan sebaliknya. Satu daripada faktor yang mungkin menyebabkan para juri mencapai keputusan sedemikian adalah kerana mereka terpengaruh dengan kepintaran dan kepandaian peguambela berhujah. 

 

AMBIL PENGAJARAN

 

Melihatkan keputusan Mahkamah Tinggi Massachusetts yang terpaksa mengisytiharkan perbicaraan silap (mistrial) dalam kes pertuduhan bunuh terhadap Lindsay Musgrove-Clancy, rakyat Malaysia seharusnya mengambil iktibar dan bersyukur sistem juri telahpun 31 tahun dimansuhkan. 

Nasib dan masa depan seseorang tertuduh tidak sepatutnya diletakkan ke atas pertimbangan orang awam yang belum tentu mahir dan cekap merungkai isu-isu melibatkan hal perundangan negara. 

Dalam kes tersebut, terdapat 12 orang juri yang dilantik bagi memutuskan isu fakta kes. Mereka berulang kali diingatkan tentang asas sistem perundangan jenayah yang harus melepaskan mana-mana tertuduh jika wujud keraguan munasabah. 

Malangnya, meskipun 11 daripada ahli juri berpandangan bahawa wujud keraguan munasabah, namun seorang juri enggan membuat keputusan melepaskan tertuduh walaupun mengakui timbul keraguan berkenaan dengan fakta kes yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan. 

Kesan daripada kebuntuan ini, mahkamah tiada pilihan selain mengarahkan agar kes ini diisytiharkan perbicaraan silap dan pertuduhan dibicarakan sekali lagi. 

Kini tular pandangan di media sosial yang menyenaraikan anggaran kos setiap perbicaraan jenayah di Massachusetts. Ada yang meletakkan anggaran perbicaraan, berlangsung selama tujuh minggu atau 21 hari, pada jumlah AS$1.5 juta (RM6.1 juta) memandangkan ramai saksi-saksi pakar dipanggil pihak pendakwaan menuntut yuran perkhidmatan  lebih tinggi berbanding saksi awam. 

Pembaziran masa dan dana awam yang besar ini hanyalah sebahagian daripada cerminan kepincangan sistem juri. Di sebalik matlamat asalnya untuk memberi ruang suara kepada masyarakat dalam mencapai keadilan, dalam masa sama sistem ini mendedahkan proses perundangan kepada pelbagai kelemahan praktikal. 

Perlu ditekankan para juri dipilih dalam kalangan orang awam yang tidak terlatih dalam bidang perundangan.

Sudah tentu, dalam era moden dengan penggunaan media sosial harian adalah tinggi, mereka mudah dipengaruhi laporan media yang sensasi. Mereka juga sudah tentu tidak dapat mengelak daripada mempunyai pandangan peribadi dan merasa emosional khususnya dalam kes jenayah melibatkan mangsa kanak-kanak. 

Sedangkan pertimbangan yang telus dan adil menuntut agar sentimen peribadi tidak disandarkan dalam membuat keputusan kes. 

Tambahan pula, kes-kes kompleks moden hari ini sering melibatkan perdebatan saintifik, pandangan pakar, bahan bukti forensik dan analisa digital yang rumit. 

Amatlah tidak wajar apabila sistem juri meletakkan harapan ke atas orang awam tanpa latar belakang khusus untuk memproses serta menilai keterangan pakar secara saksama dalam tempoh singkat. 

Seperti yang disaksikan dalam kes Lindsay Musgrove-Clancy, kedegilan atau pendirian peribadi seorang juri sahaja mampu melumpuhkan keseluruhan proses keadilan. Kebuntuan ini memaksa perbicaraan semula diadakan, yang mana bukan sahaja akan menanggung kos berganda bahkan akan memanjangkan kesengsaraan emosi keluarga yang terlibat.

Kerana itulah, keputusan Malaysia memansuhkan sistem juri merupakan langkah wawasan yang amat tepat. 

Keadilan jenayah adalah satu disiplin yang menuntut ketelitian undang-undang, kebebasan fikiran daripada pengaruh luar serta kecekapan menilai bukti secara rasional. 

Tugas ini selayaknya dipikul oleh seorang hakim yang sudah terlatih dan berpengalaman, bukannya diletakkan di atas bahu emosi dan pertimbangan sembrono orang awam. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×