PETALING JAYA: Ketika bola sepak Malaysia berdepan risiko ‘terkubur’ akibat pandemik COVID-19, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican melihat sendiri kesungguhan Datuk Ab Ghani Hassan mencari jalan memastikan saingan Liga Malaysia (Liga M) kembali dihidupkan.
Bagi bekas Menteri Belia dan Sukan itu, krisis berkenaan menjadi antara ujian paling jelas terhadap kemampuan seorang pemimpin membuat keputusan, terutama ketika berdepan situasi luar biasa yang menuntut penyelesaian segera dan praktikal.
Reezal Merican berkata, Ab Ghani yang ketika itu merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bukan sekadar hadir untuk meminta kerajaan membenarkan Liga Malaysia diteruskan, sebaliknya datang dengan perancangan serta idea yang boleh dilaksanakan dalam keadaan penuh cabaran.
“Kesungguhan Ab Ghani pada waktu itu untuk datang berbincang dengan saya memang cukup besar bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia terus dapat dilaksanakan.
“Ini kerana jika Liga Malaysia berhenti maka terputuslah mata pencarian ramai pemain, jurulatih dan pegawai kelab. Malah untuk menghidupkan semula Liga Malaysia bila sudah terhenti lama pasti akan lebih sukar bukan sahaja untuk menghidupkan kembali Liga Malaysia malah seluruh industri bola sepak.
“Malah pentingnya ketika itu untuk Liga Malaysia terus berjalan adalah sebagai persiapan skuad Harimau Malaya bagi kempen kelayakan Piala Piala Asia 2023 yang mana akhirnya kita layak ke Doha, Qatar.
“Kita bukan berbincang sekali atau dua kali, tetapi banyak pertemuan diadakan kerana Ab Ghani datang dengan perancangan dan idea bagaimana sukan bola sepak ini boleh diteruskan dalam keadaan yang cukup mencabar ketika itu”, katanya.
Liga Malaysia ketika itu terpaksa dihentikan berikutan penularan COVID-19 apabila kesemua perlawanan ditangguhkan berkuat kuasa 16 Mac 2020, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kelangsungan industri bola sepak tempatan.
Keadaan bertambah rumit apabila pasukan tidak dibenarkan menjalani latihan berpasukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum Latihan Fasa 1 dibenarkan bermula pada 15 Jun 2020 tanpa sentuhan fizikal, diikuti Latihan Fasa 2 yang membenarkan sentuhan fizikal pada 15 Julai mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Selepas melalui beberapa peringkat persediaan dan penyesuaian, MFL akhirnya mengumumkan Liga Malaysia kembali bersambung pada 28 Ogos 2020, sekali gus memberi nafas baharu kepada pemain, jurulatih, kelab dan seluruh ekosistem bola sepak negara.
Bagi Reezal Merican, pengalaman mengharungi krisis berkenaan menjadi antara sebab beliau tidak terkejut apabila Ab Ghani kemudiannya dicalonkan untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Ketika krisis melanda pada pandemik COVID-19, saya melihat komitmen Ab Ghani. Waktu itu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden MFL turut sama membantu selain sokongan daripada kelab-kelab lain yang benar-benar mahu melihat bola sepak terus hidup.
“Saya tahu, untuk meyakinkan Kerajaan Malaysia pada waktu itu bukan sesuatu yang mudah kerana COVID-19 adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian. Jadi MFL menyediakan pelan SOP Gelembung Sukan yang pada saya cukup efektif untuk dilaksanakan, bukan hanya untuk bola sepak malah dijadikan rujukan kepada sukan lain.
“Bagi saya, itulah yang membezakan seorang pemimpin. Dalam keadaan krisis, kita bukan hanya perlu bercakap tentang masalah, tetapi perlu datang dengan penyelesaian dan perancangan.
“Jadi saya tidak terkejut apabila Ab Ghani dicalonkan untuk menjawat jawatan Presiden FAM pula. Saya fikir dengan pengalaman beliau sebagai bekas pemain serta pengurusan bola sepak, ia akan membantu FAM untuk bergerak maju ke depan,” katanya.-UTUSAN










