
TAPAH: Seorang graduan universiti tempatan terkemuka mengambil tindakan nekad pulang ke kampung halaman untuk menjadi usahawan produk sejuk beku di Kampung Kinjang Pasir, Chenderiang di sini sejak lima tahun lalu.
Menurut Julia Nirwan, 46, yang merupakan lepasan Bacelor Sains Mikrobiologi dengan Kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM), prospek perniagaan lebih menyakinkan di kampung tersebut berbanding di bandar raya.
“Banyak kelebihannya berniaga di kampung antaranya ialah segala operasi dilakukan di rumah, ramai kenalan selain jangkauan pemasaran yang menjimatkan kos pengangkutan dengan harga jualan yang kompetitif.
“Selain itu, secara relatifnya bahan-bahan mentah untuk memproses produk sejuk beku saya lebih murah berbanding di bandar raya selain sempat untuk menguruskan perihal keluarga termasuk anak yang masih bersekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sebelum berkecimpung dalam perniagaan berasaskan makanan, wanita ini pernah menjawat jawatan sebagai penolong pengurus dan pegawai instisusi perbankan terkemuka tempatan.
Julia yang mempunyai seorang anak perempuan berumur 13 tahun mengusahakan produk sejuk beku berbentuk kuih seperti cucur badak, bijan, sardin gulung, karipap berisi ubi kentang serta daging ayam dan koci.
Jelasnya, dia turut mengambil tempahan menyediakan kuih talam dan piza siap dibakar untuk mempelbagaikan produk perniagaannya sehingga mampu menjana pendapatan empat angka setiap bulan.
“Saya mempunyai grup WhatsApp pelanggan sendiri, kerjasama dengan perancang perkahwinan melibatkan kuih-muih dan piza pelbagai jenis dalam majlis kenduri selain tempahan yang konsisten melibatkan sekolah dan program di kampung selain memaksimumkan penggunaan Facebook untuk promosi.
“Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng banyak membantu saya dalam memohon Bantuan Peralatan Biznita melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (SPW) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bagi geran berbentuk peralatan seperti peti sejuk beku, mesin doh, mesin pengedap vakum dan mesin pengisar untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.
Dia turut mengikuti kursus yang diselia oleh Jabatan Pertanian Perak, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Kolej Komuniti Tapah dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi mendalami ilmu berbentuk pengurusan kewangan, operasi, kawalan bahan mentah, promosi serta pemasaran berkesan.
Bantuan itu selaras dengan flagship kelima pelan Perak Sejahtera 2030, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan dan kondusif. – UTUSAN









