KANGAR: Parti Wawasan Negara (Wawasan) Perlis terbuka menerima para pemimpin yang sebelum ini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai parti itu.
Penyelaras Wawasan negeri, Azahar Hassan berkata, beliau mengambil maklum mengenai pemimpin-pemimpin Bersatu dari tiga bahagian yang keluar parti dan menyatakan hasrat menyertai Wawasan di Perlis.
Beliau juga tidak melihat perbezaan latar belakang politik sebagai penghalang untuk seseorang menyertai perjuangan baharu.
“Wawasan adalah wadah politik yang terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.
“Kepada rakan-rakan daripada Bersatu mahupun mana-mana parti politik lain yang merasakan bahawa perjuangan mereka selari dengan prinsip dan inspirasi Wawasan, kami sentiasa terbuka menerima.
“Bagaimanapun, penyertaan ke dalam Wawasan itu hendaklah dibuat atas dasar kerelaan sendiri, kesedaran dan keyakinan terhadap perjuangan, bukannya kerana tekanan mana-mana pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar dan sebahagian besar Ahli Jawatankuasa (AJK) termasuk 14 ketua cawangan mengumumkan peletakan jawatan serta keluar parti berkuat kuasa serta merta.
Keputusan peletakan jawatan itu dibuat setelah melalui penilaian sedalamnya di mana mereka berpendapat telah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti di peringkat pusat.
Azahar yang juga Ahli Dewan Negara berkata, Wawasan juga menyeru golongan muda khususnya di Perlis supaya berani tampil dan mengambil bahagian dalam politik.
“Kami membuka ruang seluas-luasnya kepada generasi muda untuk membawa idea baharu, mempelajari selok-belok politik terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan serta menjadi sebahagian daripada proses membentuk masa depan negeri dan negara.
“Mereka yang mempunyai minat untuk berkhidmat kepada masyarakat dan mahu terlibat dalam politik secara lebih terbuka dan inklusif, Wawasan Perlis mengalu-alukan.
“Kami percaya perbezaan boleh disatukan melalui wawasan yang lebih besar, kepentingan rakyat, pembangunan negeri dan masa depan,” katanya. – UTUSAN










