Dalam masyarakat, masih wujud anggapan kanak-kanak terlalu kecil untuk memahami tekanan hidup atau berdepan masalah emosi yang serius.
Pegawai Psikologi (Kaunseling), Pejabat Kesihatan Daerah Kluang, Nurfarahira Ahmad Yaccob berkata, tanggapan itu perlu diperbetulkan kerana kanak-kanak juga boleh mengalami pelbagai emosi termasuk kesedihan, kekecewaan, ketakutan, kesunyian, tekanan dan rasa putus harapan.
Menurutnya, perbezaannya ialah kanak-kanak mungkin belum mempunyai keupayaan untuk memahami serta meluahkan perasaan yang dialami dengan jelas seperti orang dewasa.
“Kanak-kanak juga boleh mengalami masalah emosi, cuma mereka mungkin tidak tahu bagaimana untuk meluahkan perasaan atau meminta bantuan ketika sedang bergelut dengan sesuatu,” katanya.
Jangan anggap hanya mencari perhatian
Menurutnya, perubahan tingkah laku kanak-kanak tidak seharusnya terus dianggap sebagai perkara biasa atau sekadar cubaan untuk mendapatkan perhatian.
Antara perubahan yang perlu diberi perhatian termasuk menjadi terlalu pendiam, mudah marah, kerap menangis, hilang minat terhadap aktiviti yang biasanya disukai serta mula menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan.
“Tidak semua perubahan tingkah laku bermaksud seorang kanak-kanak mengalami krisis emosi kerana mereka juga boleh melalui fasa perubahan emosi yang normal.
“Namun, perubahan yang ketara, berpanjangan atau semakin membimbangkan wajar diberi perhatian,” jelasnya.
Beliau berkata, daripada terus mempersoalkan tingkah laku kanak-kanak, orang dewasa perlu cuba memahami perkara yang mungkin sedang mereka lalui.
Orang dewasa seharusnya tidak hanya bertanya, “Kenapa dia buat perangai begitu?” sebaliknya cuba memahami apa yang sedang dilalui oleh kanak-kanak berkenaan.
Ungkapan mahu mati perlu diambil serius
Nurfarahira berkata, ibu bapa, penjaga, guru dan ahli keluarga perlu mengambil serius sebarang kenyataan membimbangkan daripada kanak-kanak, terutama apabila mereka bercakap tentang kematian atau menyakiti diri.
Ungkapan seperti tidak mahu hidup, mahu hilang, mahu mati atau menyakiti diri tidak seharusnya dianggap sebagai cubaan untuk mendapatkan perhatian semata-mata.
“Apabila mereka sudah meluahkan, kita perlu mengambil serius kata-kata yang membimbangkan.
“Jangan memarahi, memperlekehkan atau mencabar mereka. Elakkan ayat seperti ‘Jangan fikir bukan-bukan’ atau ‘Kamu masih kecil, apa masalah kamu?’” jelasnya.
Sebaliknya, orang dewasa perlu mendengar dengan tenang dan memberikan ruang kepada kanak-kanak untuk meluahkan perkara yang sedang mereka lalui tanpa menghakimi.
Jika terdapat kebimbangan terhadap keselamatan atau risiko kanak-kanak mencederakan diri, mereka tidak sepatutnya dibiarkan bersendirian.
“Mendapatkan bantuan bukan bermaksud kita gagal sebagai ibu bapa atau penjaga, sebaliknya menunjukkan bahawa kita cukup prihatin untuk mendapatkan sokongan yang diperlukan,” katanya.
Tidak semestinya diluahkan dengan kata-kata
Menurut Nurfarahira, kanak-kanak tidak semestinya mampu meluahkan kesedihan atau tekanan melalui kata-kata, sebaliknya emosi tersebut boleh ditunjukkan menerusi perubahan tingkah laku.
Mereka mungkin menjadi agresif, enggan ke sekolah, kerap sakit perut atau sakit kepala tanpa sebab fizikal yang jelas, sukar tidur, hilang selera makan atau sentiasa kelihatan letih.
Ada yang menjadi terlalu pendiam, manakala yang lain kelihatan semakin sukar dikawal.
Cegah sebelum menjadi serius
Usaha mencegah krisis emosi perlu bermula sebelum keadaan menjadi serius dengan membina persekitaran yang membolehkan kanak-kanak berasa selamat untuk bercakap mengenai emosi mereka.
Katanya, kanak-kanak perlu diajar bercakap tentang emosi bukan tanda kelemahan, selain dibimbing untuk mengenali dan memberi nama kepada perasaan yang dialami.
Di rumah, ibu bapa digalakkan meluangkan masa bertanya tentang hari mereka tanpa menjadikan setiap perbualan hanya berkisar mengenai keputusan peperiksaan atau pencapaian.
Di sekolah pula, ruang yang selamat perlu diwujudkan bagi membolehkan murid melaporkan buli, berkongsi masalah dan mendapatkan sokongan.
Anak tidak perlu kuat seorang diri
Beliau berkata, kanak-kanak tidak boleh dilindungi daripada setiap kesedihan dalam kehidupan kerana mereka tetap akan berdepan dengan kegagalan, kehilangan, penolakan dan kekecewaan.
Namun, orang dewasa boleh membantu mereka membina daya tahan emosi dengan menunjukkan bahawa meminta pertolongan bukanlah sesuatu yang salah.
Perkara paling penting bukan untuk menjadi ibu bapa, guru atau penjaga yang sempurna dan sentiasa mempunyai jawapan kepada setiap masalah.
Sempena Bulan Pencegahan Bunuh Diri, masyarakat perlu memastikan kanak-kanak bukan sahaja diajar untuk menjadi kuat, tetapi turut mengetahui bahawa mereka tidak perlu kuat seorang diri.










