BUKIT MERTAJAM : Dua kanak-kanak lelaki yang didiagnosis menghidap penyakit genetik jarang jumpa iaitu Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 2 kini telah selesai menjalani rawatan terapi gen di sebuah hospital di Indonesia selepas berjaya membuat kutipan dana sebanyak RM1.04 juta bagi tujuan tersebut, baru-baru ini.
Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, kanak-kanak terbabit, Muhammad Hadeef Fayyadh Mohd Farhan, 2, dan Muhd Iman Hafiz Muhammad Syafiq, 5, sebelum itu telah berlepas ke negara tersebut dengan keluarga masing-masing pada 23 Ogos lalu dan menjalani rawatan berkenaan keesokan harinya.
Menurut beliau, mereka seterusnya dibenarkan pulang pada 27 Ogos setelah beberapa hari menjalani pemantauan di hospital.
“Selepas ini, kedua-dua mereka masih perlu menjalani fisioterapi secara intensif bagi menguatkan otot kaki, dengan harapan suatu hari nanti mereka dapat belajar berdiri dan seterusnya melangkah dengan lebih yakin.
“Mungkin ini hanya satu langkah kecil, namun, bagi dua kanak-kanak yang sekian lama berjuang melawan SMA, langkah itu bakal menjadi satu detik yang amat bermakna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Sui Hau berkata, rawatan tersebut juga bukanlah pengakhiran buat mereka, sebaliknya, satu permulaan kepada perjalanan proses pemulihan yang lebih mencabar.
“Harapan terbesar ibu bapa mereka bukanlah untuk melihat anak terus berlari, tetapi, melalui proses pemulihan yang berterusan agar suatu hari nanti mereka mampu belajar berdiri, mengekalkan keseimbangan badan dan berani mengorak langkah pertama dalam kehidupan,” katanya.
Utusan Malaysia pada 17 Ogos lalu melaporkan, kedua-dua kanak-kanak itu terpaksa mendapatkan rawatan tersebut kerana mereka kini semakin hilang upaya untuk berdiri serta bergerak disebabkan kemerosotan neuron motor dalam tubuh masing-masing akibat penyakit berkenaan.
Sehubungan itu, mereka terpaksa mendapatkan bantuan daripada One Hope Charity selaku badan amal untuk mengumpul dana sebanyak RM1.04 juta bagi tujuan rawatan walaupun jumlah tersebut agak tinggi.-UTUSAN










