Ibu mahu derma buah pinggang kepada anak, perlu RM170,000

Ibu mahu derma buah pinggang kepada anak, perlu RM170,000

CHUA Sui Hau (kanan) ketika menerima kunjungan Chew Siew Foong (dua,kiri) dan Ting Chai Shi (dua,kanan) di pejabat One Hope Charity and Welfare di Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Pengorbanan seorang ibu tidak berpenghujung, malah, sanggup mendermakan buah pinggang sendiri demi memastikan anak kesayangan kembali sihat.

Bagaimanapun, kos rawatan yang mencecah RM170,000 menyukarkan impian Chew Siew Foong, 56, untuk melihat anak keduanya, Ting Chai Shi, 25, segera sembuh daripada penyakit yang dihidapinya.

“Doktor memaklumkan buah pinggang saya sesuai untuk Chai Shi, namun, kos rawatan amat tinggi membuatkan prosedur itu belum dapat dijalankan.

“Suami saya bekerja sebagai penjual mi dan saya suri rumah manakala dua lagi anak kami yang masing-masing berusia 21 dan 28 tahun hanya bekerja biasa.

“Untuk pengetahuan, Chai Shi menghidap penyakit ini sejak usianya 14 tahun lagi dan saya hanya mahu melihat dia sembuh seperti sediakala,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, keluarga terbabit datang dari Bintulu, Sarawak untuk bertemu dengannya baru-baru ini bagi memohon bantuan kewangan.

“Keluarga ini amat memerlukan bantuan orang ramai bagi memastikan prosedur pemindahan buah pinggang yang akan dilaksanakan di sebuah bospital di Semenanjung dapat dibuat dengan kadar segera.

“Ibu ini (Siew Foong) pula sudah tidak sanggup melihat anaknya menanggung derita malah berharap agar Chai Shi dapat mengakhiri rutin dialisis dan kembali menjalani kehidupan normal kerana dia masih muda,” katanya.

Tambah Sui Hau, penyakit Chai Shi mula dikesan selepas dia sering demam, sukar bernafas dan badan menjadi bengkak susulan kedua-dua buah pinggangnya hanya tinggal lima peratus semasa usianya 14 tahun.

“Pada tahun 2018 pula, Chai Shi turut disahkan mengalami masalah kelenjar paratiroid yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam pengaturan kalsium serta tulang menjadi lemah dan mudah patah.

“Doktor tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada dialisis yang berpanjangan sehingga memaksanya mengambil ubat tulang yang menelan kos RM2,000 sebulan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma boleh menghubungi talian 04-539 9212 atau layari onehopecharity.org untuk maklumat lanjut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN