Enam termasuk lima lelaki bawah umur didakwa rogol remaja 15 tahun

Enam termasuk lima lelaki bawah umur didakwa rogol remaja 15 tahun

ENAM termasuk lima tertuduh bawah umur yang berdepan pertuduhan merogol kanak-kanak bawah umur Julai lepas dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Enam lelaki termasuk lima remaja bawah umur yang masih bersekolah dihadapkan ke mahkamah di sini semalam atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada, Julai lalu.

Bagi pertuduhan di Mahkamah Seksyen, seorang lelaki yang tidak bekerja berusia 18 tahun didakwa merogol mangsa berkenaan di sebuah rumah sekitar kawasan Sanglang, di sini, sekitar pukul 2 pagi, 18 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian dan Zuhair Ahmad Zakuan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan sehingga kes selesai, selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen ditetapkan pada 9 Oktober depan.

Sementara itu, bagi prosiding di Mahkamah Majistret di sini, lima lagi remaja lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan merogol kanak-kanak bawah umur sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa merogol mangsa yang sama secara berkumpulan di lokasi berkenaan dalam dua kejadian berasingan.

Kejadian pertama didakwa dilakukan dua tertuduh berusia 15 dan 17 tahun antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi pada 18 Julai, manakala kejadian kedua membabitkan empat tertuduh antara pukul 2 hingga 5 pagi, 19 Julai.

Kesemua remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Wan Nursyaheedah Wan Najmi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 bagi setiap pertuduhan manakala seorang lagi tertuduh berusia 15 tahun yang berdepan dua pertuduhan dikenakan jumlah jaminan sebanyak RM1,000.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Oktober depan bagi meneliti laporan akhlak dan pembentangan fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×