NEW YORK: Ben Shelton dan Carlos Alcaraz membawa misi berbeza menjelang pertembungan suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Flushing Meadows, hari ini, dengan pemain tuan rumah itu mahu mencipta kejutan manakala lawannya memburu gelaran kedua berturut-turut.
Shelton mengakui Alcaraz kembali berada pada prestasi terbaik selepas pulih daripada kecederaan pergelangan tangan kanan yang memaksanya berehat lebih empat bulan, namun dia tetap yakin mampu memberikan tentangan sengit.
Menurut pemain Amerika Syarikat itu, kemampuan Alcaraz mengekalkan tahap permainan tinggi sejurus kembali ke gelanggang membuktikan mengapa bintang Sepanyol berkenaan dianggap antara pemain terbaik dunia ketika ini.
“Saya rasa dia sedang bermain pada tahap yang sangat tinggi dan baik.
“Bagi saya, dia nampak sangat normal. Maksud saya, berada pada tahap biasanya dia bermain dan itu mengagumkan selepas tidak bermain selama lima bulan.
“Saya teruja untuk perlawanan ini. Saya tidak pernah menentangnya di sini, di New York dan sudah tentu inilah kedudukan yang saya mahu berada,” kata Shelton.
Rekod pertemuan sebelum ini jelas memihak kepada Alcaraz yang memenangi kesemua tiga aksi terdahulu, termasuk ketika mereka bertemu di Roland Garros tahun lalu.
Bagaimanapun, Shelton percaya dia kini muncul sebagai pemain yang lebih matang dan lengkap, sekali gus memiliki peluang lebih baik untuk mengubah rekod tersebut.
“Saya fikir saya bermain dengan baik di Paris, tetapi saya rasa sekarang servis saya lebih baik, pukulan balas servis juga jauh lebih baik.
“Saya rasa kemampuan saya mengekalkan kualiti pukulan dari garisan belakang, kualiti keseluruhan permainan dari garisan belakang dan pergerakan saya juga semakin baik.
“Sudah tentu perlawanan kali ini akan berbeza kerana ia berlangsung di sini,” ujarnya.
Di sebalik keyakinan Shelton, Alcaraz pula terus mengukuhkan reputasinya sebagai calon utama untuk mempertahankan kejuaraan selepas mempamerkan aksi meyakinkan sepanjang empat pusingan awal kejohanan.
Pemain berusia 23 tahun itu dilihat semakin menemui rentak terbaik, bukan sahaja dari aspek pukulan tetapi juga kebijaksanaan mengawal tempo permainan ketika saingan memasuki peringkat paling mencabar.
“Saya gembira dapat kembali bermain dan sentiasa mahu bermain lebih baik selepas kecederaan. Shelton lawan yang sukar tetapi saya di sini untuk jadi juara,” katanya.- AGENSI










