SERDANG: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu laporan lengkap berhubung insiden membabitkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang meninggal dunia ketika mengikuti program Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) disiapkan segera.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah akan diambil akan bergantung kepada laporan tersebut.
“Kita jangkakan laporan itu secepat mungkin untuk kita dapatkan. Apa-apa pun kita ambil tindakan berdasarkan pada laporan yang akan disediakan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas,” Majlis Peluncuran Pepan Strategik UPM 2026-2030 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.
Baru-baru ini, seorang peserta Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) 2026 meninggal dunia manakala lapan lagi dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi berkaitan haba di kampus cawangan UiTM Pahang di Jengka.
Mangsa, Fadhlan Fakhry Solana Mohd. Fellimal, 21, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Sabtu lalu.
Mengulas mengenai isu-isu yang dibangkitkan mahasiswa UiTM seperti penempatan pelajar dan kelemahan tadbir urus, Zambry berkata, KPT akan meneliti perkara tersebut.
“Apa-apa pun dari segi pendekatan yang kita lakukan ialah langkah-langkah yang perlu dikemukakan.
“Kalau mereka ada masalah, mereka serahkanlah kepada pihak pengurusan universiti. Kita ada Naib Canselor yang bertanggungjawab dan saya juga memberitahu kepada pihak universiti supaya ruang untuk semua pihak termasuk pelajar dan juga termasuk ahli-ahli akademik, sekiranya ada perkara-perkara yang perlu diperbincangkan dan juga diperbaiki, kita kena lakukan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN










