KUALA LUMPUR: Pemansuhan atau pengecualian yuran pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) belum memadai untuk memastikan mobiliti sosial mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekiranya kos sara hidup mereka tidak ditangani secara menyeluruh.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, masih terdapat mahasiswa daripada keluarga kurang berkemampuan yang berdepan kesempitan hidup sehingga terpaksa mencatu makanan sepanjang pengajian.
Beliau berkata, perkara itu berdasarkan pengalamannya menyantuni keluarga mahasiswa menerusi inisiatif Program SULUNG kendalian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Tambah beliau, meskipun inisiatif kerajaan berjaya mengecualikan sehingga 90 peratus yuran pengajian atau menyediakan pendidikan secara percuma, kos sara hidup di kampus masih menjadi cabaran utama mahasiswa daripada keluarga miskin.
“Bila saya berkesempatan berjumpa dengan beberapa keluarga di bawah Program SULUNG, saya melihat bukan masalah yuran itu sahaja yang dihadapi mereka.
“Semasa berada di universiti itu sendiri, selain daripada yuran, dia perlu makan dan pakai setiap hari. Kita lihat ada yang sanggup makan sehari sekali sahaja, dan itu pun akan mengurangkan peluang mereka untuk menjadi yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengendalikan Sesi 1 Konvensyen Pendidikan Melayu bertajuk ‘Cabaran Mutakhir Pendidikan Anak Bangsa: Kumpulan B40 dan M40’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, kekurangan nutrisi dan kehidupan serba daif turut memberi kesan terhadap pembentukan keyakinan diri serta kemahiran insaniah mahasiswa ketika bersaing dalam pasaran pekerjaan.
Menurutnya, graduan daripada keluarga berpendapatan tinggi (T20) lazimnya mempunyai kelebihan dari segi komunikasi, penguasaan bahasa Inggeris dan keterbukaan minda yang membantu mereka memperoleh pekerjaan berkualiti.
“Sebaliknya bagi anak-anak keluarga susah, mereka bermula serba kekurangan. Ada yang datang daripada keluarga nelayan, rumahnya serba daif tanpa pintu, namun mereka tetap bersyukur dan amat merendah diri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pembuat dasar bahawa universiti merupakan benteng terakhir dalam ekosistem pendidikan untuk membantu keluarga miskin memutuskan rantaian kemiskinan.
“Di IPT ini adalah hentian terakhir (the last stop) untuk mereka. Kalau kita tidak bantu mengubah keperibadian dan potensi mereka di sini, amat sukar untuk mereka keluar daripada kesempitan.
“Anak-anak ini bukan sekadar statistik atau angka, mereka adalah manusia yang mempunyai maruah dan kehebatan tersendiri.
“Amanah kita tidak berakhir sebaik sahaja mereka menggenggam ijazah, tetapi berterusan sehingga nasib mereka dan keluarga mereka benar-benar berubah,” katanya. – UTUSAN







