KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) dan Gerakan Ekonomi Kreatif Nasional (GeKrafs) Indonesia membuka peluang lebih luas kepada golongan belia untuk membentuk ekosistem industri kreatif di peringkat ASEAN.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Datuk Raden Mohammad Iman Hascarya Kusumo dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir.
Presiden MBWP, Khairul Rizam Abu Samah berkata, kerjasama itu menjadi platform strategik bagi menghubungkan bakat dan rangkaian belia kedua-dua negara, khususnya dalam sektor ekonomi kreatif, teknologi dan digitalisasi.
“Kerjasama ini akan membuka ruang kepada anak muda Malaysia dan Indonesia untuk berkongsi ilmu, membina jaringan, mengembangkan bakat serta meneroka peluang ekonomi baharu dalam industri kreatif.
“Matlamatnya adalah untuk membentuk ekosistem industri kreatif yang lebih kukuh di peringkat ASEAN dan seterusnya mewujudkan ruang penciptaan ekonomi anak muda Malaysia di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis yang berlangsung di Kedutaan Besar Republik Indonesia semalam turut menjadi platform untuk membentuk ekosistem industri kreatif yang lebih tersusun bagi anak muda, khususnya dalam membuka peluang ekonomi merentasi sempadan.
Katanya lagi, usaha itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, sokongan komersial serta peluang penembusan pasaran tempatan dan antarabangsa bagi pengamal kreatif muda.
Malah jelasnya, ia juga memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan keusahawanan menerusi penyediaan program inkubasi, latihan teknikal, pemecutan perniagaan serta sokongan profesional kepada pengamal industri kreatif muda.
“Ia akan memperkukuh jaringan antara pelaku industri di kawasan ASEAN, selain menggalakkan interaksi budaya dan penyertaan bersama dalam usaha kreatif, persekitaran ujian teknologi atau sandbox serta program keusahawanan moden,” katanya.
Jelas Khairul Rizam lagi, usaha memperjuangkan akses yang saksama, keterangkuman dan mekanisme sokongan setempat juga penting bagi memastikan pelbagai kelompok belia mendapat peluang untuk menyertai ekosistem digital serantau dan platform ekonomi kreatif-UTUSAN










