KUALA LUMPUR: Pekerja asing pada masa depan sepatutnya hanya digunakan bagi pekerjaan yang tergolong dalam kategori 3D iaitu sukar, berbahaya dan kotor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, industri tidak boleh lagi bergantung kepada pekerja asing pada kadar seperti sekarang, sebaliknya perlu mempercepat penggunaan automasi dalam operasi dan pengeluaran bagi pekerjaan yang boleh dilaksanakan tenaga kerja tempatan.
Menurutnya, pendekatan itu perlu dilaksanakan merentasi semua saiz syarikat termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memastikan industri bersedia menghadapi perubahan dalam pasaran tenaga kerja.
“Kita mahu semua syarikat, tidak kira mikro, kecil atau sederhana, memahami betapa pentingnya kita membawa automasi ke dalam operasi dan pengeluaran secepat mungkin.
“Kalau ada pun pekerja asing ini nanti hanya digunakan untuk pekerjaan kategori 3D iaitu sukar, berbahaya dan kotor,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan perasmian penutup ‘Voices of HER Forum 2026’ di sini, semalam.
Johari berkata, kelonggaran pengambilan pekerja asing sebelum ini membolehkan jumlahnya mencecah 2.6 juta orang, yang antaranya membantu industri melaksanakan pekerjaan 3D bagi memastikan pengeluaran dapat diteruskan dan eksport ditingkatkan.
Bagaimanapun, katanya, penggunaan pekerja asing bukan bertujuan menggantikan pekerja tempatan kerana struktur kehidupan dan keperluan tenaga kerja tempatan adalah berbeza.
“Jika industri terus diberikan fleksibiliti dalam penggunaan pekerja asing, keadaan itu boleh menimbulkan ketidakseimbangan persaingan antara syarikat yang mempunyai akses kepada pekerja asing dengan syarikat yang tidak memilikinya.
“Jadi, industri perlu mempercepat penggunaan ekonomi digital, platform digital dan automasi supaya kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan secara berperingkat, kecuali bagi pekerjaan 3D,” ujarnya.
Beliau berkata, mana-mana industri yang memohon kepada MITI untuk mendapatkan pekerja asing perlu terlebih dahulu menjelaskan jenis pekerjaan 3D yang hendak diisi.
Katanya, bagi pekerjaan yang bukan dalam kategori 3D, syarikat perlu menyatakan gaji permulaan serta kelayakan yang ditawarkan bagi memastikan pekerjaan berkenaan benar-benar mempunyai nilai ekonomi kepada pekerja tempatan.
“Kalau sebelum ini syarikat mempunyai 1,000 pekerja dan 20 peratus daripadanya dalam pekerjaan 3D, bermakna 200 pekerja adalah untuk kerja 3D, manakala 800 lagi perlu dikurangkan secara berperingkat.
“Ia bukan dilakukan serta-merta, tetapi perlu dikurangkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata, isu gaji turut menjadi antara faktor yang menentukan sama ada pekerja tempatan bersedia menerima sesuatu pekerjaan.
Tambahnya, rakyat tempatan sebenarnya sanggup bekerja jika pekerjaan itu menawarkan nilai ekonomi yang setimpal seperti rakyat Malaysia yang sanggup berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk mendapatkan pendapatan lebih baik. – UTUSAN









