PUTRAJAYA: Akibat tidak mendengar nasihat peguam, seorang lelaki terpaksa merengkok lebih lama di penjara selepas rayuannya ditolak dan hukuman penjaranya ditambah oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas kesalahan amang seksual terhadap anak saudara.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Hakim K. Muniandy sebulat suara meminda hukuman penjara daripada 12 tahun yang sebelum ini dikenakan terhadap perayu berusia 45 tahun itu kepada 20 tahun.
Lelaki itu sebelum ini didapati bersalah mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama seksyen 16(1) akta sama iaitu melakukan amang seksual fizikal ke atas anak saudaranya ketika berusia empat tahun.
Mahkamah bagaimanapun mengekalkan hukuman sebat lima kali, perintah kaunseling di bawah Seksyen 26 dan perintah pengawasan polis selama 2 tahun di bawah Seksyen 27 akta sama.
Terdahulu, peguam K.A Ramu memaklumkan mahkamah bahawa beliau telah menasihati anak guamnya agar tidak meneruskan rayuan tersebut.
Nasihat itu bagaimanapun tidak diterima oleh lelaki berkenaan menyebabkan peguam itu memohon agar hukuman penjara yang dikenakan ke atas anak guamnya itu dikurangkan antara enam ke tujuh tahun.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Solehah Noratikah Ismail berkata, kesalahan yang dilakukan perayu adalah `harapkan pegar, pegar makan padi.’
Tambahnya, tindakan perayu meneruskan rayuannya walaupun telah diberi nasihat menunjukkan bahawa dia tidak berasa sesal dengan perbuatannya.
Menurut fakta kes, mangsa memaklumkan kepada ibunya kejadian terkutuk itu sewaktu dimandikan oleh wanita berkenaan.
Jelas kanak-kanak berkenaan, lelaki berkenaan telah mengajaknya bermain `jadi-jadi’ di tempat letak kereta rumah mangsa sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu. – UTUSAN








