Rayuan pendakwaan terhadap 18 bekas penuntut UPNM 14 Mei

Rayuan pendakwaan terhadap 18 bekas penuntut UPNM 14 Mei

Sebahagian peguam yang mewakili bekas penuntut UPNM hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi sebutan rayuan pendakwaan berkaitan kes kematian Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain, akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Mei ini.

Pendengaran rayuan selama tiga hari berturut-turut itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tiga daripada enam responden selepas sebutan kes hari ini.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Mereka semua terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Tinggi pada 2021 membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mengubah sabitan kepada Seksyen 304(a) kanun sama.

Pada hari sama, Mahkamah Rayuan juga akan mendengar rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Tinggi ke atas 12 yang lain.

Kesemua 12 bekas penuntut UPM itu serta lima daripada enam individu ((kecuali Mohamad Shobirin) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan, 21. Hukuman berkuat kuasa serentak.

Mereka ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala dan Luqman Hakim Shamsuri.

Tertuduh lain Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Kesemuanya kini berusia 28 tahun, ketika kejadian mereka berumur 21 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar bersama-sama Datin Asmah Musa memohon lanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan di luar tempoh yang ditetapkan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan itu selepas kesemua responden tidak membantah.

Pada 2 November 2021, Hakim Datuk Azman Abdullah (kini hakim Mahkamah Rayuan) berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah bahawa lima mereka dengan niat bersama menyebabkan kematian Zulfarhan manakala tertuduh keenam (Abdoul Hakeem) bersubahat menyebabkan kematian ke atas mangsa tanpa niat.

Kesalahan menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Perbuatan mencederakan Zulfarhan pula dilakukan di dalam sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Hakim Azman berpuas hati kecederaan akibat 90 tekapan seterika wap menyebabkan kematian Zulfarhan, namun perbuatan itu tidak terjumlah kepada niat membunuh dengan sengaja di bawah Seksyen 300 kanun itu, sebaliknya di bawah Seksyen 299.

Pada hemat beliau, keterangan perubatan berhubung 90 kesan tekapan seterika pada tubuh mangsa kecuali pada bahagian muka dan belakang tapak tangan menunjukkan ketelitian individu yang menekapnya kerana jika mangsa masih hidup sekali pun, parut itu tidak akan kelihatan jika dia memakai baju berlengan panjang.

Dalam penghakimannya, Hakim Azman turut menyentuh rentetan kejadian sebelum Zulfarhan meninggal dunia yang bermula dengan kehilangan komputer riba tertuduh pertama yang kemudiannya membawa kepada ramalan seorang bomoh bahawa mangsa yang mencurinya.

Bagaimanapun, mahkamah berpendapat, tiada siapa dapat membuktikan bahawa Zulfarhan yang mencuri komputer riba tersebut ketika mangsa dipukul beramai-ramai.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN