Selangor di landasan tepat raih rekod pelaburan RM100 bilion menjelang akhir tahun - Utusan Malaysia

Selangor di landasan tepat raih rekod pelaburan RM100 bilion menjelang akhir tahun

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Selangor berpotensi mencipta rekod baharu pelaburan melebihi RM100 bilion tahun ini selepas berjaya merekodkan pelaburan berjumlah RM70 bilion setakat separuh pertama 2026.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu sekali gus melepasi prestasi kebanyakan negeri lain dengan Selangor kekal sebagai penerima pelaburan terbesar negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri menetapkan sasaran RM80 bilion bagi tahun ini, namun yakin angka itu mampu dilepasi berdasarkan prestasi semasa.

“Kita letakkan sasaran RM80 bilion sebagaimana pencapaian tahun 2025. Tapi sampai pertengahan tahun 2026, kita sudah mencapai RM70 bilion.

“Dengan trend itu, kita sangat percaya akan dapat melepasi sasaran RM80 bilion dan jika momentum terus positif, tidak mustahil kita mampu mencipta rekod baharu melebihi RM100 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran fasa pembinaan Taman Perindustrian Terurus Pertama di Malaysia di NCT Smart Industrial Park (NSIP) di Jalan Langat Lestari, di sini hari ini.

Menurutnya, pencapaian itu didorong strategi agresif kerajaan negeri menerusi misi perdagangan dan pelaburan ke luar negara termasuk Perancis, Jerman, Arab Saudi dan Korea Selatan.

Ujarnya, pembangunan infrastruktur strategik seperti ECRL, cadangan pembinaan pelabuhan serta kawasan perindustrian baharu di Klang dan Kota Puteri turut dijangka merancakkan lagi kemasukan pelaburan ke Selangor.

“Strategi yang konsisten dan berterusan telah menjadikan Selangor sangat konsisten daripada segi nilai pelaburan masuk.

“Kita melihat banyak pergerakan positif dan yakin momentum ini akan terus berkembang dalam tempoh akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×