PETALING JAYA: UOB Malaysia dan Invest Selangor Berhad membantu merealisasikan kemasukan pelaburan bernilai lebih RM3 bilion ke Selangor, melibatkan sektor infrastruktur digital, sains hayat, pembuatan termaju dan tenaga baharu.
Pelaburan berkenaan mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan ekonomi negeri itu, selain memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab industri bernilai tinggi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama strategik itu membantu menangani cabaran menyalurkan modal kepada sektor perniagaan yang berpotensi berkembang, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan tempatan.
Ujarnya, keutamaan ketika ini bukan sekadar menarik modal, tetapi memastikan pembiayaan dapat dimanfaatkan oleh syarikat untuk mengembangkan operasi, meningkatkan keupayaan perniagaan dan membangunkan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.
“Langkah terbaharu ini amat selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor Kedua (RS-2), yang bertujuan meningkatkan keupayaan perniagaan tempatan serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk golongan muda.
“Ini merupakan strategi paling mampan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai sebahagian daripada usaha itu, empat syarikat mengemukakan Surat Hasrat (LoI) pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026.
Syarikat-syarikat yang mengemukakan LoI termasuk Galaxy DC Pte Ltd, pemaju infrastruktur pusat data hiperskala yang berfokus pada kecerdasan buatan atau AI dan Shenghui Biotechnology (Malaysia) Sdn Bhd, yang merancang untuk membangunkan kemudahan pemprosesan mendalam jagung dan pengeluaran ramuan khusus berskala besar di Selangor.
Selain itu, Wuxi Weifu Environmental Catalysts Co Ltd, pengeluar pemangkin kawalan emisi automotif dan perindustrian yang menyokong pertumbuhan ekosistem kenderaan tenaga baharu Malaysia; serta XTC New Energy Materials (Xiamen) Co Ltd, pengeluar bahan bateri termaju yang menyokong rantaian nilai kenderaan elektrik dan penyimpanan tenaga.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Datuk Ng Wei Wei berkata, pelaburan berkenaan merupakan hasil kerjasama strategik dengan Invest Selangor dalam menghubungkan pelabur antarabangsa dengan peluang perniagaan di rantau ASEAN.
“Selain nilai pelaburan, projek berkenaan berpotensi memberikan manfaat ekonomi lebih luas menerusi pemindahan teknologi, pembangunan bakat dan peluasan peluang rantaian bekalan kepada perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari pula berkata, pelaburan itu mencerminkan kekuatan ekosistem perindustrian, kesalinghubungan, kumpulan bakat dan persekitaran mesra perniagaan di Selangor.
“Kerjasama dengan UOB Malaysia membolehkan Selangor mendekati lebih ramai pelabur antarabangsa serta memudah cara kemasukan pelaburan yang menepati keutamaan pembangunan strategik Selangor.
“Projek berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada nilai pelaburan, malah berpotensi memperkukuh keupayaan industri tempatan dan meningkatkan kedudukan Selangor dalam sektor bernilai tinggi,” katanya. – UTUSAN










