WARSAW: Sebuah treler hancur berkecai akibat dirempuh kereta api berkelajuan tinggi selepas terperangkap di antara dua palang pintu di satu lintasan kereta api di Gdansk, Poland.
Satu rakaman video menunjukkan treler itu sedang melintas landasan sebelum terperangkap di tengah-tengah palang pintu pagar yang telah diturunkan.
Pemandu treler itu pada mulanya cuba mengundurkan kenderaannya, sebelum membuka pintu dan menyedari kehadiran kereta api yang semakin menghampiri pada minggu lalu.
Beliau dengan pantas menutup semula pintu dan cuba memandu ke hadapan sebagai usaha terdesak untuk melepaskan diri daripada laluan landasan.
Bagaimanapun, dia tidak sempat menyelamatkan kenderaannya menyebabkan kereta api berkenaan merempuh bahagian belakang treler hingga menyebabkan struktur kenderaan nya berkecai selain menerbangkan serpihan dan mencetuskan percikan api ke udara.
Kereta api itu kemudian berhenti secara perlahan-lahan.
Bagaimanapun, tiada sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan parah dilaporkan meskipun pemandu treler berkenaan telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Daripada 300 penumpang yang berada di dalam kereta api tersebut, dua penumpang dan konduktor telah diperiksa petugas perubatan di lokasi kejadian sebelum dibenarkan pulang.
Kesemua penumpang terpaksa keluar menyelamatkan diri sendiri berikutan rempuhan berkenaan.
Wakil pejabat pendakwa raya Gdansk memberitahu media Poland, Onet bahawa satu siasatan telah dibuka berhubung kemalangan itu
“Ekoran insiden itu, sebanyak 279 perkhidmatan kereta api mengalami kelewatan dengan jumlah keseluruhan melebihi 17,500 minit.
“Sebanyak 30 perkhidmatan kereta api dibatalkan untuk sebahagian laluan, manakala 45 lagi diubah haluan,” menurut kenyataan Pejabat Pengangkutan. – AGENSI










