PUTRAJAYA: Polis Antarabangsa (Interpol) di Manchester sedang mengesan keberadaan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther yang kini berada di United Kingdom (UK) sejak Jun 2025.
Lelaki itu berada di United Kingdom (UK) selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut di akhir kes pendakwaan pada 12 Jun 2025 dan telah memohon perlindungan suaka hak asasi manusia dari negara berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah pada sebutan rayuan terhadap keputusan yang melepaskan dan membebaskan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol tiruan di Mahkamah Rayuan di sini.
“Pihak perayu telah menghantar notis permintaan kepada Interpol Manchester pada 22 Julai lalu dan pihak Interpol juga telah meminta beberapa butiran tambahan. Interpol telah mengambil maklum dan sedang mengumpul maklumat.
“Buat masa ini, maklumat terkini keberadaan responden (Muhammed Yusoff) masih belum diketahui. Oleh itu, pihak perayu (pendakwaan) memohon tarikh sebutan baru,”katanya.
Pada prosiding hari ini, sebutan tersebut didengar oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Hakim K. Muniandy.
Selain itu, Mohd. Asnawi memaklumkan, rayuan berkenaan boleh diteruskan tanpa kehadiran responden iaitu Muhammed Yusoff kerana peruntukan Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah tidak pernah menyentuh mengenai kehadiran fizikal.
“Seksyen 314 tidak terpakai pada ketika ini kerana responden pada tarikh terdahulu memaklumkan melalui peguamnya bahawa dia bersedia untuk menghadiri rayuan cuma melalui wadah yang berbeza iaitu melalui Zoom,” katanya.
Menurut seksyen itu, sekiranya notis rayuan telah disampaikan dengan sewajarnya tetapi namun responden gagal hadir sama ada tertuduh atau pendakwaan pada hari pendengaran rayuan, mahkamah boleh meneruskan pendengaran rayuan tersebut tanpa kehadiran atau menangguhkan kes ke suatu tarikh lain.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan, pihaknya telah mendapat arahan tegas bahawa Muhammed Yusoff bersedia untuk meneruskan pendengaran rayuan tetapi secara Zoom sebagaimana yang dinyatakan dalam surat kepada Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan bertarikh 2 Jun lalu.
Hakim Azman kemudian membangkitkan persoalan: “Jika kita berikan keistimewaan pada kes ini (hadir secara Zoom), bagaimana dengan kes-kes akan datang? Sekarang bukan covid.”
Mahkamah kemudian menetapkan 4 November ini untuk sebutan semula rayuan tersebut.
Pada 12 Jun 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhammed Yusoff selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.
Pihak pendakwaan seterusnya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret pada 12 September 2024 atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram yang didakwa ditemukan dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 10.15 pagi 6 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi pada tarikh sama. – UTUSAN










