PUTRAJAYA: Bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther masih bimbang dengan keselamatan dirinya, sejak memfailkan saman sivil terhadap Anwar pada 2021.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, anak guamnya kini mengharungi cabaran besar dan ia bukanlah sesuatu yang mudah dalam tempoh sembilan bulan selepas dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan mengedar dadah dan memiliki pistol tiruan.
“Dia kini berada di sebuah tempat yang selamat, namun masih risau keselamatan dirinya. Bukan mudah untuk dia mengharungi perkara ini sejak kes di Mahkamah Tinggi sembilan bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Istana Kehakiman di sini, hari ini.
Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di Segambut pada Oktober 2018.
Disoal sama ada masih terdapat ancaman keselamatan terhadap Muhammed Yusoff, Muhammad Rafique berkata, laporan polis terhadap dua individu telah dibuat, namun sehingga kini belum ada siasatan dilakukan.
Hari ini, Mahkamah Rayuan memerintahkan Anwar membayar kos RM50,000 kepada Muhammed Yusoff selepas Anwar menarik balik rayuannya berkait kes saman sivil yang difailkan bekas pembantunya itu.
Anwar menarik balik rayuannya berhubung permohonan untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Rujukan persoalan undang-undang itu adalah berhubung saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff selaku responden berhubung insiden gangguan seksual yang berlaku sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri pada 2018.
Sementara itu, pengurusan kes saman sivil itu akan didengar di hadapan hakim baharu pada 8 April ini bagi menetapkan tarikh perbicaraan.
Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Roz Mawar Rozain dipindahkan ke Seremban bulan lalu dan digantikan dengan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan. – UTUSAN










