JOHOR BAHRU: Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther yang dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol tiruan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur boleh membuat saman balas terhadap kerajaan, polis.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, itu merupakan haknya sebagai seorang rakyat Malaysia.
“Di bawah undang-undang jika dia merasakan tahanan itu adalah tidak wajar, tindakan undang-undang boleh diambil seperti dalam kes Fahmi Reza.
“Jika ulasan diberikan polis tidak betul atau tidak memuaskan, inilah hak seorang warga Malaysia untuk ambil tindakan saman balik kerajaan dan polis,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Projek Membaca anjuran Kolej Universiti Selatan di sini hari ini.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai itu turut memberitahu, tindakan saman tersebut merupakan satu cara bagaimana rakyat boleh melakukan proses semak imbang terhadap pihak berkuasa.
“Saya rasa ada cara untuk rakyat lakukan ‘check and balance’ kuasa polis,” jelasnya lanjut.
Khamis lalu, Muhammed Yusoff dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie Muhammed Yusoff, 32, terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut diakhir kes pendakwaan.
Muhammed Yusoff sebelum ini menafikan penglibatannya dalam pemilikan dadah dan pistol atau sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang. – UTUSAN










