Kawal sempadan jangan sehingga abai kemanusiaan

Kawal sempadan jangan sehingga abai kemanusiaan

ISU pelarian atau pencari suaka menuntut keseimbangan antara kawalan sempadan dan nilai kemanusiaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA berhak mengawal sempadannya. Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bukan pas imigresen, bukan permit kerja dan bukan janji kewarganegaraan.

Ini bermakna sesiapa yang masuk atau tinggal tanpa kebenaran tetap tertakluk kepada undang-undang negara. Jika melakukan kesalahan, mereka wajar disiasat, didakwa dan dihukum sekiranya sabit kesalahan.

Begitu juga status sebagai pelarian atau pencari suaka tidak memberikan kekebalan daripada undang-undang.

Namun, kedaulatan bukan cek kosong. Mengeluarkan individu yang tidak mempunyai hak untuk berada di Malaysia ialah satu perkara. Menghantarnya ke tempat yang mendedahkan mereka kepada pembunuhan, penyeksaan, kehilangan paksa atau penganiayaan ialah perkara lain. Di sinilah kuasa imigresen bertemu dengan batas hak asasi manusia.

Perbahasan mengenai pemulangan warga Myanmar perlu bermula dengan fakta yang tepat. Pada 27 Ogos lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan seramai 1,476 warga Myanmar yang layak dan bersetuju untuk pulang akan dihantar pada 29 September di bawah fasa pertama Program Repatriasi Sukarela. Mereka sebahagian daripada kumpulan 5,000 orang yang akan dihantar secara berperingkat.

KDN turut menjelaskan pelarian Myanmar di Malaysia terdiri daripada Rohingya, Chin, Karen dan Mon. Justeru, tidak wajar menganggap kesemua 1,476 individu berkenaan sebagai Rohingya tanpa pecahan rasmi mengenai identiti serta status mereka.

Perbezaan itu penting kerana setiap kategori mempunyai keadaan dan keperluan perlindungan yang berbeza. Mereka mungkin terdiri daripada pelarian berdaftar, pencari suaka yang tuntutannya belum diputuskan, tahanan imigresen, pesalah yang telah selesai menjalani hukuman atau gabungan beberapa kelompok.

Dalam kumpulan itu juga mungkin terdapat kanak-kanak, mangsa pemerdagangan manusia, individu tanpa kewarganegaraan atau mereka yang berdepan ancaman khusus.

Tanpa maklumat sedemikian, sukar untuk masyarakat menilai sama ada proses berkenaan benar-benar sukarela, selamat dan berlandaskan pertimbangan individu atau sekadar pemindahan beramai-ramai dengan istilah yang lebih lunak.

Dari sudut undang-undang domestik, kerajaan mempunyai kuasa luas dalam urusan imigresen, termasuk penahanan dan penyingkiran dalam keadaan tertentu. Namun, kuasa yang luas tidak bermaksud kuasa tanpa batas. Prinsip keadilan asasi serta struktur Perlembagaan Persekutuan tetap menjadi sebahagian daripada kerangka yang perlu dihormati.

Pengalaman 2021 memberikan peringatan yang jelas. Ketika itu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah sementara untuk menangguhkan penghantaran 1,200 warga Myanmar, namun 1,086 orang tetap dihantar pada hari yang sama. Episod tersebut menunjukkan betapa pentingnya penyelarasan antara cabang eksekutif dan kehakiman apabila keselamatan serta kebebasan manusia dipertaruhkan.

Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan menggunakan ungkapan ‘tiada seorang pun’, manakala Perkara 8(1) merujuk kepada ‘semua orang’. Peruntukan ini tidak bermaksud warga asing mempunyai hak automatik untuk menetap di Malaysia. Namun, mereka juga tidak berada di luar lingkungan perlindungan undang-undang. Sebarang penahanan atau penyingkiran perlu mempunyai asas yang sah dan tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya.

 

KEDAULATAN ADA BATASNYA

Malaysia juga sedang membangunkan mekanisme sendiri melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP). Usaha mengenal pasti individu melalui data dan biometrik boleh membantu negara mengetahui siapa yang berada dalam wilayahnya.

DPP juga tidak memberikan kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk tinggal selama-lamanya.

Namun, pendaftaran bukan penentuan status. Jika DPP mahu menjadi instrumen pengurusan yang berwibawa, prosesnya perlu disertai kriteria yang jelas, temu duga individu, jurubahasa yang sesuai, alasan keputusan secara bertulis serta mekanisme semakan.

Data tidak seharusnya menjadi alat mudah untuk mengumpulkan manusia sebelum mereka dihantar pulang.

Kedudukan Malaysia yang bukan pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 juga perlu difahami dengan tepat.

Dalam sistem undang-undang Malaysia, sesuatu perjanjian antarabangsa tidak secara automatik menjadi undang-undang domestik tanpa tindakan perundangan. Namun, itu tidak bermakna negara bebas mengetepikan semua prinsip undang-undang antarabangsa.

Antaranya ialah prinsip non-refoulement, iaitu larangan menghantar seseorang ke tempat yang menyebabkan mereka berdepan risiko serius terhadap nyawa atau kebebasan. Prinsip tersebut diiktiraf secara meluas dalam undang-undang antarabangsa.

Larangan penyeksaan pula mempunyai kedudukan yang lebih kukuh sebagai norma yang tidak boleh diketepikan.

Pada masa sama, perlindungan pelarian bukan lesen untuk melakukan jenayah. Individu yang melakukan kesalahan serius tetap boleh dikenakan tindakan. Prinsip paling asas ialah tanggungjawab jenayah bersifat individu. Satu kesalahan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghukum seluruh komuniti. Begitu juga video tular atau kemarahan di media sosial tidak boleh menggantikan bukti dan proses undang-undang.

Istilah ‘sukarela’ juga perlu dipastikan benar-benar membawa makna tersebut. Kepulangan sukarela memerlukan pilihan yang bebas dan bermaklumat serta berlaku dalam keadaan selamat dan bermaruah. Tandatangan seseorang yang berada dalam tahanan belum semestinya membuktikan keputusan itu dibuat tanpa tekanan.

Setiap individu wajar ditemu duga secara sulit, mendapat maklumat mengenai keadaan di tempat tujuan, diberi peluang mendapatkan nasihat dan masa munasabah untuk membuat keputusan. Pemerhatian pihak bebas juga boleh meningkatkan keyakinan terhadap proses tersebut.

Keadaan di Myanmar pula tidak boleh dipandang ringan. Laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan pelbagai pelanggaran serius terhadap Rohingya, termasuk penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan, keganasan seksual, kehilangan paksa dan pemusnahan kediaman.

Konflik serta ketidakstabilan di beberapa kawasan turut menimbulkan persoalan terhadap keselamatan mereka yang dihantar pulang.

Namun, penilaian tidak boleh dibuat secara pukal. Myanmar bukan satu kawasan dengan tahap risiko yang sama. Identiti etnik, lokasi asal, sejarah penahanan, hubungan politik, umur dan faktor lain boleh menghasilkan keadaan yang berbeza bagi setiap individu.

Jalan keluarnya bukan membuka sempadan tanpa kawalan dan bukan juga melakukan pemulangan secara pukal. Kerajaan boleh meneruskan penghantaran bagi mereka yang benar-benar memilih untuk pulang selepas melalui penilaian individu. Pada masa sama, proses tersebut perlu telus, boleh disemak dan mempunyai mekanisme untuk menghentikan penghantaran jika wujud risiko serius.

Bagi pesalah, undang-undang perlu ditegakkan. Bagi mereka yang belum selamat untuk pulang, kerajaan boleh mempertimbangkan penyelesaian sementara, penempatan semula atau mekanisme perlindungan yang bersesuaian.

Saya tidak berhujah supaya pelarian diberikan kewarganegaraan atau kebebasan melanggar undang-undang. Malaysia berhak menentukan siapa yang boleh memasuki dan tinggal di negara ini. Namun, kuasa tersebut mesti dilaksanakan dengan disiplin undang-undang dan pertimbangan kemanusiaan.

Kedaulatan bukan sekadar kemampuan menghantar seseorang pergi. Kedaulatan sebenar terserlah apabila negara mampu menjelaskan siapa yang boleh dihantar, atas alasan apa, ke mana mereka pergi dan bagaimana keputusan itu dibuat. Dalam soal sempadan, ketegasan penting. Dalam soal nyawa manusia, ketelitian jauh lebih penting. –UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail ialah Profesor Madya, Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×