JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mengarahkan perolehan dron tanpa pemandu berkapasiti muatan berat serta penambahan aset udara bagi memperkukuh usaha menangani kebakaran hutan dan tanah yang berterusan di seluruh negara.
Dalam mesyuarat Kabinet secara maya berkaitan pengurusan bencana alam semalam, Prabowo mengakui kerajaan berdepan operasi berskala besar untuk menangani kebakaran hutan tahun ini, selain berlaku beberapa kelewatan dalam operasi.
“Pada masa akan datang, kita akan mengambil langkah lebih awal. Saya mahu perancangan diberi keutamaan dan kita mengamalkan prinsip lebih baik berlebihan daripada kekurangan,” katanya.
Beliau mengarahkan Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi, menyelaras dengan Menteri Kewangan, Purbaya Yudhi Sadewa, serta Menteri Perancangan Pembangunan Nasional, Rachmat Pambudy, bagi memperoleh lebih banyak aset mitigasi bencana, termasuk helikopter pengebom air.
Prabowo turut mengarahkan penambahan peralatan pemadaman kebakaran di kawasan terjejas, termasuk pam air dan jengkaut.
Katanya, peralatan berskala kecil perlu ditempatkan secara kekal di kampung luar bandar yang berisiko tinggi bagi membolehkan kebakaran dipadam pada peringkat awal.
Mengulas peningkatan keupayaan besar-besaran itu, Prabowo berkata Indonesia tidak lama lagi akan menerima kapal pengangkut pesawat pertama negara itu yang akan digunakan bagi operasi pengurusan pascabencana.
Kapal berkenaan direka untuk menempatkan sehingga 10 helikopter bersaiz sederhana, dengan setiap satunya mampu membawa empat hingga lima tan air bagi operasi pemadaman kebakaran dari udara.
“Selain itu, kita perlu menambah jumlah pesawat bagi operasi pengubahsuaian cuaca,” katanya.
Presiden menugaskan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN) mengenal pasti bahan kimia paling berkesan bagi mempercepatkan proses pembenihan awan.
Beliau turut mengarahkan perolehan dron berkapasiti muatan berat yang mampu membawa sejumlah besar air untuk operasi pengeboman air secara tepat di barisan hadapan kebakaran hutan.
“Kita mesti membuat persediaan lebih awal,” katanya.- ANTARA










