KUALA TERENGGANU: Seramai 96 anggota polis menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan menyertai Ekspedisi Kayak Merdeka sejauh kira-kira 25 kilometer dari Serada ke Dataran Pulau Warisan, di sini, semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, program anjuran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu itu bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, malah menerapkan nilai jati diri, kerjasama dan semangat berpasukan dalam kalangan anggota pasukan.
Beliau berkata, ekspedisi yang bermula kira-kira pukul 9 pagi itu menyaksikan anggota berkayak secara berpasangan dari Meacon, Serada sebelum menamatkan kayuhan di Dataran Pulau Warisan.
“Perjalanan sejauh 25 kilometer ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kerjasama dan semangat berpasukan kerana peserta perlu berkayak secara berpasangan sehingga sampai ke destinasi.
“Pada masa sama, aktiviti seperti ini membantu memastikan pegawai dan anggota sentiasa cergas dan sihat selaras dengan ketetapan pasukan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Mohd. Khairi berkata, pihaknya pada awalnya menjangka ekspedisi berkenaan mengambil masa kira-kira dua jam, namun kesemua peserta berjaya menamatkan kayuhan dalam tempoh kira-kira satu jam.
Katanya, keadaan cuaca yang redup dan tidak terlalu panas serta arus yang bersesuaian turut membantu kelancaran ekspedisi. – UTUSAN










