Setia atau takut hilang kerja?

Setia atau takut hilang kerja?

PEKERJA perlu berkembang untuk kekal relevan, manakala organisasi perlu menyediakan ruang agar perkembangan tersebut berlaku.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA seseorang pekerja memilih untuk terus kekal dalam pekerjaan sedia ada bukan kerana benar-benar berpuas hati, mempunyai komitmen tinggi atau melihat masa depan yang cerah dalam kerjaya tersebut tetapi kerana bimbang terhadap ketidaktentuan pasaran kerja, risiko kehilangan pendapatan atau ketakutan untuk berdepan dengan perubahan.

Masalahnya, bertahan terlalu lama dalam zon selesa boleh menghakis daya saing seseorang pekerja.

Dunia pekerjaan berubah dengan pantas akibat pendigitalan, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan model perniagaan. Kemahiran relevan hari ini mungkin tidak lagi mencukupi beberapa tahun akan datang. 

Pekerja enggan mempelajari perkara baharu atas alasan mahu mengekalkan kestabilan akhirnya berdepan risiko lebih besar apabila organisasi berubah atau pekerjaan mereka tidak lagi diperlukan.

Budaya organisasi turut memainkan peranan penting dalam mencetuskan atau mengukuhkan fenomena ini. Organisasi gagal menyediakan laluan kerjaya jelas, tidak memberikan peluang pembangunan profesional, tidak menghargai idea baharu atau terlalu menghukum kesilapan boleh menyebabkan pekerja memilih untuk berada dalam zon selesa. 

Begitu juga sistem ganjaran terlalu berorientasikan tempoh perkhidmatan berbanding prestasi dan sumbangan sebenar boleh secara tidak langsung menggalakkan pekerja untuk sekadar bertahan.

Oleh itu, organisasi perlu beralih daripada paradigma kesetiaan pasif kepada kesetiaan produktif. Kesetiaan sebenar bukan sekadar memastikan pekerja terus berada dalam organisasi, tetapi memastikan mereka terus berkembang bersama organisasi.

Majikan perlu menyediakan laluan kerjaya jelas, peluang peningkatan kemahiran, latihan berterusan serta mobiliti dalaman membolehkan pekerja melihat masa depan dalam organisasi tanpa perlu mencari peluang di luar.

Pemimpin organisasi juga perlu mewujudkan persekitaran kerja mempunyai keselamatan psikologi. Pekerja perlu berasa mereka boleh mencuba perkara baharu, mengemukakan idea dan melakukan kesilapan munasabah tanpa terus dihukum atau dilabel sebagai tidak kompeten. 

Apabila kegagalan kecil dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran, pekerja akan lebih berani keluar daripada zon selesa.

Pekerja juga perlu mengambil tanggungjawab terhadap perkembangan kerjaya masing-masing. Keselamatan pekerjaan tidak seharusnya hanya bergantung kepada jawatan yang sedang disandang.

Sebaliknya, keselamatan kerjaya perlu dibina melalui kebolehan menyesuaikan diri, meningkatkan kemahiran dan kesediaan mempelajari perkara baharu.

Pekerja mempunyai kompetensi sentiasa berkembang mempunyai daya tahan kerjaya lebih kukuh berbanding mereka hanya bergantung kepada tempoh perkhidmatan.

Ini juga perlu dilihat sebagai isyarat kepada majikan bahawa sesuatu mungkin tidak kena dalam pengalaman pekerja.

Jika ramai pekerja kekal kerana takut meninggalkan organisasi, persoalannya bukan sekadar mengapa mereka tidak berhijrah tetapi mengapa mereka tidak melihat organisasi sebagai tempat untuk berkembang. Ini memerlukan majikan menilai semula kepimpinan, budaya kerja, sistem ganjaran, peluang kerjaya dan pengalaman pekerja secara keseluruhannya.

Dalam dunia pekerjaan bergerak pantas, bertahan semata-mata tidak lagi mencukupi. Pekerja perlu berkembang untuk kekal relevan, manakala organisasi perlu menyediakan ruang agar perkembangan tersebut berlaku. 

Kesetiaan sebenar bukanlah apabila seseorang pekerja takut untuk meninggalkan organisasi tetapi apabila mereka mempunyai banyak pilihan namun tetap memilih untuk kekal kerana percaya bahawa organisasi itu masih mampu memberikan ruang untuk mereka berkembang. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR

Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan,

Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×