KUALA LUMPUR: Potensi intervensi bagi meningkatkan sehingga dua kali ganda sumbangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera kepada ekonomi negara menjelang 2035 akan diteliti menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
PuTERA35 menetapkan sasaran sumbangan syarikat Bumiputera sebanyak 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2035 sebagai penanda aras untuk memperkukuh penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sasaran sumbangan 15 peratus kepada KDNK merupakan penanda aras penting, namun tidak seharusnya dilihat sebagai titik akhir.
“Dengan perubahan landskap ekonomi dan persaingan yang semakin sengit, kita perlu menilai semula tahap aspirasi serta mengenal pasti bagaimana sumbangan ekonomi Bumiputera boleh dipertingkatkan.
“Ini memerlukan kita membina lebih banyak syarikat Bumiputera yang mampu berkembang pada skala lebih besar, bersaing dalam sektor bernilai tinggi dan seterusnya meningkatkan penguasaan ekonomi Bumiputera,” katanya ketika berucap pada sesi meja bulat Forum Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat Bumiputera di sini hari ini.
Dengan sumbangan semasa perusahaan Bumiputera kepada KDNK sebanyak 8.1 peratus, forum itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan skala perniagaan, daya saing serta keupayaan PMKS Bumiputera mencipta nilai dan kekayaan yang lebih besar.
Daripada 11 sektor yang dikenal pasti di bawah PuTERA35, tujuh sektor strategik dilihat mempunyai ruang signifikan untuk meningkatkan penyertaan dan penguasaan Bumiputera, selaras dengan tumpuan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terhadap sektor berpotensi serta industri pertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV).
Tujuh sektor berkenaan ialah perdagangan borong Bumiputera, halal dan makanan, pertanian dan industri asas tani, teknologi maklumat, pelancongan, perkhidmatan perniagaan serta logistik.
Beliau berkata, PuTERA35 dibangunkan dengan sasaran pelaksanaan selama 10 tahun sehingga 2035.
“Namun begitu, terdapat keperluan untuk menyemak pencapaian keseluruhan sehingga kini.
“Menjelang penghujung tahun atau awal tahun depan, diharapkan akan ada pelaporan menyeluruh mengenai pencapaian semasa.
“Selepas laporan tersebut diperoleh, angka yang diketengahkan boleh disemak bagi menentukan sama ada sasaran itu mampu dicapai dalam tempoh ditetapkan serta mengenal pasti anjakan atau tindakan tambahan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan PuTERA35 bukan hanya diukur berdasarkan angka atau peratusan yang dicapai, tetapi sejauh mana hasilnya benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat Bumiputera serta meningkatkan pemilikan, penguasaan dan penyertaan mereka dalam ekonomi negara. – UTUSAN










