Wajah tidak simetri perkara normal

Wajah tidak simetri perkara normal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernahkah anda perasan sebelah mata kelihatan sedikit lebih tinggi, pipi kiri lebih berisi atau hujung bibir tidak berada pada paras yang sama?

Perbezaan kecil pada wajah itu sebenarnya merupakan ketidaksimetrian wajah atau facial asymmetry yang normal dan lazim dimiliki setiap individu.

Ketua Pegawai Eksekutif Klinik Lovina, Mejar (B) Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, wajah tidak simetri berlaku apabila ciri pada bahagian kiri dan kanan wajah tidak sepadan sepenuhnya, sama ada dari segi saiz, bentuk, kedudukan atau ketebalan.

Antara keadaan yang biasa dilihat termasuk kedudukan mata yang sedikit berbeza, sebelah pipi lebih penuh atau hujung bibir yang kelihatan lebih tinggi berbanding sebelah lagi.

“Semua manusia sebenarnya mempunyai wajah yang tidak simetri. Malah, wajah yang kita anggap cantik juga mempunyai ketidaksimetrian, cuma perbezaannya sangat halus.

“Perbezaan kecil itu kadangkala menjadikan seseorang kelihatan unik, cantik atau kacak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, ketidaksimetrian wajah bukanlah satu penyakit dan lazimnya tidak memerlukan rawatan sekiranya keadaan itu telah wujud sejak dahulu atau berlaku secara semula jadi.

Genetik antara punca utama

Dr. Hamidah berkata, faktor semula jadi dan genetik merupakan antara punca utama wajah kelihatan tidak simetri kerana struktur tulang serta perkembangan otot dipengaruhi oleh gen yang diwarisi sejak lahir.

Selain itu, proses penuaan turut mengubah struktur wajah apabila penghasilan kolagen berkurangan, menyebabkan kulit semakin kendur, manakala penyusutan tulang yang berlaku secara tidak sekata boleh mempengaruhi keseimbangan wajah.

Tabiat harian tertentu juga boleh menyumbang kepada ketidaksimetrian, terutama apabila seseorang kerap menggunakan atau menyandarkan wajah pada satu sisi dalam tempoh yang lama.

Bagaimanapun, ketidaksimetrian yang muncul secara mendadak perlu diberi perhatian kerana ia mungkin menandakan masalah kesihatan yang memerlukan pemeriksaan segera.

Antara tanda yang perlu diberi perhatian ialah wajah tiba-tiba menjadi lemah atau kebas pada sebelah muka, sebelah mata sukar dibuka serta bibir kelihatan senget ketika tersenyum.

Keadaan tersebut boleh menjadi petanda Bell’s palsy atau strok yang memerlukan rawatan perubatan dengan segera.

“Kalau muka jadi tidak simetri secara tiba-tiba, kemudian disusuli kebas, muka menjadi lemah, mata tidak boleh dibuka sebelah atau bibir kelihatan senget apabila senyum, kita kena fikir tentang Bell’s palsy ataupun strok.

“Keadaan seperti ini memang memerlukan rawatan perubatan dengan segera,” ujarnya.

Rawatan estetik bantu seimbangkan wajah

Bagi individu yang mempunyai ketidaksimetrian wajah sehingga menjejaskan keyakinan diri, rawatan estetik boleh dipertimbangkan selepas penilaian doktor bagi menentukan prosedur yang bersesuaian.

Antara rawatan yang biasa digunakan ialah toksin botulinum, khususnya bagi mengurangkan aktiviti otot pada bahagian wajah yang lebih menonjol atau besar berbanding sebelah lagi.

Dermal fillers pula boleh digunakan untuk mengisi bahagian wajah yang kelihatan lebih cekung atau kurang berisi, termasuk pipi, sekali gus membantu menghasilkan penampilan yang lebih seimbang.

Selain itu, rawatan berasaskan tenaga seperti laser turut boleh digunakan mengikut keadaan dan keperluan individu.

Namun, matlamat rawatan estetik bukanlah untuk menjadikan kedua-dua belah wajah 100 peratus sama, sebaliknya mewujudkan keseimbangan yang kelihatan semula jadi.

“Rawatan estetik bukan untuk mengubah wajah supaya betul-betul sama. Kita cuma mahu wajah nampak lebih harmoni dan seimbang.

“Kita bukan kira satu milimeter di sebelah kanan dan satu milimeter di sebelah kiri. Kalau kita paksa semuanya sama, hasilnya boleh nampak pelik,” jelasnya.

Jangan berlebihan melakukan rawatan

Dalam usaha mendapatkan wajah yang lebih sempurna, ada individu yang mungkin terlalu fokus kepada setiap perbezaan kecil sehingga mendorong mereka menjalani rawatan secara berlebihan.

Prosedur tambahan yang dilakukan berulang kali walaupun wajah sudah kelihatan seimbang boleh menyebabkan hasil yang tidak natural, malah wajah mungkin kelihatan lebih tegang, pelik atau semakin tidak seimbang.

Pada masa yang sama, individu yang terlalu memikirkan kekurangan pada wajah sehingga sukar berpuas hati dengan penampilannya mungkin mengalami body dysmorphic disorder.

Keadaan apabila seseorang mempunyai kebimbangan berlebihan terhadap kecacatan atau kekurangan pada penampilan yang mungkin tidak ketara kepada orang lain.

Sekiranya seseorang masih merasakan wajahnya tidak sempurna selepas rawatan dan berulang kali mahu menjalani prosedur untuk membetulkan perkara yang sama, doktor boleh mempertimbangkan rujukan kepada pakar psikiatri untuk penilaian lanjut.

Media sosial bukan ukuran wajah sempurna

Dalam pada itu, individu yang kurang yakin dengan penampilan akibat wajah tidak simetri dinasihatkan supaya tidak menjadikan imej di media sosial sebagai ukuran kecantikan.

Menurutnya, gambar dan video yang kelihatan sempurna tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar kerana penampilan boleh dipengaruhi penggunaan filter, pencahayaan, rawatan estetik atau pembedahan.

Perbezaan kecil seperti lekuk pada wajah, bentuk kening atau kedudukan ciri wajah yang sedikit berbeza sebenarnya merupakan variasi semula jadi dan boleh menjadi identiti serta keunikan seseorang.

“Wajah kita yang tidak sempurna itulah yang menjadikan kita cantik. Kening pun sebenarnya tidak simetri, tetapi ia boleh nampak seimbang.

“Kalau betul-betul mengganggu penampilan, jumpa doktor supaya kita boleh buat penilaian dan rawatan yang betul. Bukan sebab muka itu cacat, tetapi untuk mencari keseimbangan yang sesuai dengan wajah individu,” katanya.

Ujarnya, tidak semua perbezaan pada wajah memerlukan pembetulan kerana sebahagian besarnya merupakan ciri normal manusia.

Justeru, individu yang bimbang mengenai ketidaksimetrian wajah disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor terlebih dahulu bagi memastikan keadaan tersebut sekadar variasi normal atau mempunyai kaitan dengan masalah kesihatan.

Apa yang lebih penting ialah memastikan wajah kekal sihat dan seseorang itu selesa dengan penampilannya, bukannya mengejar kesempurnaan simetri yang sebenarnya tidak wujud secara semula jadi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×