Wanita jangan anggap jantung berdebar sebagai anxiety

Wanita jangan anggap jantung berdebar sebagai anxiety

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jantung berdebar, sesak nafas, pening kepala dan keletihan antara gejala yang boleh dikaitkan dengan masalah jantung.

Namun dalam kalangan wanita, gejala berkenaan kadangkala dianggap berpunca daripada keresahan atau anxiety.

Keadaan itu boleh menyebabkan masalah jantung yang sebenar tidak dikenal pasti sekiranya simptom terus dianggap sebagai keresahan tanpa penilaian lanjut.

Pakar Kardiologi dan Elektrofisiologi, Tawakkal Specialist Hospital, Dr. Rohith Stanislaus berkata, keresahan dan serangan panik boleh menjadi sukar dibezakan daripada masalah jantung kerana kedua-duanya boleh menghasilkan simptom yang hampir sama.

“Jantung berdebar merupakan salah satu manifestasi keresahan, manakala keresahan juga boleh menyebabkan sakit kepala, sakit belakang, kelesuan dan keletihan kronik.

“Pada masa yang sama, tekanan atau stres boleh mencetuskan kadar degupan jantung yang pantas atau takiaritmia, jadi keresahan kadangkala mencetuskan gangguan rentak jantung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, masalah jantung dalam kalangan wanita pula tidak semestinya hadir dengan gambaran yang lazim seperti yang sering dijangka.

“Ciri-ciri kesakitan mungkin berbeza, atau ia mungkin berlaku di bahagian yang berlainan atau merebak ke kawasan lain dengan cara yang berbeza.

“Jika seseorang tidak menyedari gejala yang dialami mungkin berkaitan dengan masalah jantung, mereka mungkin tidak menyedari bahawa mereka perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital,” katanya.

Aritmia boleh berlaku dalam dua keadaan

Aritmia merujuk kepada rentak jantung yang tidak normal dan secara umumnya boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu takiaritmia dan bradiaritmia.

Takiaritmia berlaku apabila jantung berdegup laju, manakala bradiaritmia merujuk kepada kadar degupan yang terlalu perlahan.

“Degupan jantung yang normal secara amnya berada di antara 60 hingga 100 degupan seminit, namun nombor ini perlu ditafsirkan mengikut konteks pesakit.

“Seseorang boleh mempunyai kadar degupan jantung di bawah 60 dan berada dalam keadaan sangat sihat, manakala kadar degupan jantung di atas 100 boleh jadi normal apabila seseorang sedang bersenam,” jelasnya.

Takiaritmia lazimnya menyebabkan debaran atau palpitasi, manakala bradiaritmia boleh menyebabkan pening kepala, pengsan atau keletihan yang melampau.

Dalam sesetengah keadaan, pesakit juga boleh mengalami kedua-dua kadar degupan jantung yang laju dan perlahan seperti dalam sindrom taki-bradi.

Wanita muda juga boleh alami aritmia

Terdapat tanggapan bahawa wanita, khususnya golongan muda, kurang berkemungkinan mengalami masalah berkaitan jantung.

Wanita dalam usia reproduktif secara amnya mempunyai risiko penyakit arteri koronari yang lebih rendah disebabkan oleh kesan perlindungan hormon estrogen dan progesteron, namun keadaan itu tidak bermakna mereka bebas sepenuhnya daripada risiko.

Risiko juga lebih tinggi dalam kalangan wanita yang mempunyai diabetes, hipertensi, berat badan berlebihan atau obesiti, merokok, dislipidemia serta sejarah keluarga dengan penyakit jantung.

“Faktor-faktor risiko ini penting tanpa mengira usia, jadi penyedia penjagaan kesihatan perlu melihat profil risiko keseluruhan individu dan bukannya menganggap bahawa wanita yang lebih muda dilindungi sepenuhnya,” katanya.

Pada masa sama, usia muda bukan penghalang daripada mengalami gangguan rentak jantung walaupun seseorang tidak mempunyai faktor risiko lain.

Antaranya ialah takikardia supraventrikular, iaitu keadaan yang menyebabkan kadar degupan jantung menjadi terlalu pantas.

Jangan abaikan simptom

Bagi aritmia, debaran menjadi antara tanda utama apabila kadar degupan jantung terlalu pantas, manakala kadar yang terlalu perlahan pula boleh menyebabkan pening kepala, pengsan atau keletihan melampau.

Bagaimanapun, sesetengah wanita mungkin mengalami tanda yang tidak begitu jelas apabila berdepan masalah jantung.

Menurut beliau, serangan jantung lazimnya menyebabkan sakit dada yang boleh disertai sesak nafas, peluh berlebihan atau muntah.

Namun, wanita mungkin mengalami keadaan secara tidak tipikal apabila ciri kesakitan berbeza, berlaku di bahagian lain atau merebak dengan cara yang berbeza.

“Oleh kerana simptom yang dialami tidak sepadan dengan gambaran tipikal serangan jantung, mereka mungkin tidak menyedari bahawa mereka perlu ke hospital untuk mendapatkan penilaian lanjut,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan ada pesakit menyangka mereka mengalami masalah perut atau gastrik sebelum mencuba ubat tanpa preskripsi atau rawatan di rumah.

“Saya pernah melihat pesakit datang ke hospital yang pada awalnya menyangka mereka hanya mengalami gastrik, namun ECG menunjukkan bahawa mereka sebenarnya sedang mengalami serangan jantung,” katanya.

Justeru, simptom yang berterusan atau tidak bertambah baik tidak seharusnya dibiarkan tanpa pemeriksaan.

Jangan terus label sebagai anxiety

Dr. Rohith berkata, simptom berkaitan jantung tidak sepatutnya terus dilabel sebagai keresahan tanpa penilaian lanjut kerana masalah sebenar mungkin tidak dikenal pasti.

Gangguan rentak jantung tertentu boleh meningkatkan risiko strok, manakala kadar degupan yang sangat perlahan bersama pening boleh menyebabkan pengsan.

Sehubungan itu, wanita yang kerap mengalami jantung berdebar, sesak nafas atau simptom lain yang mengganggu kehidupan harian disarankan mendapatkan pemeriksaan.

“Jika simptom tertentu mengganggu kehidupan anda atau menyebabkan ketidakselesaan, dapatkan pemeriksaan.

“Jika pemeriksaan jantung yang dilaksanakan adalah normal, barulah boleh mempertimbangkan keresahan atau faktor lain yang menyumbang kepada simptom tersebut,” jelasnya.

ECG dan monitor Holter bantu kenal pasti masalah

ECG merupakan antara pemeriksaan paling mudah untuk menilai rentak jantung, namun ia hanya merakam keadaan jantung pada ketika pemeriksaan dilakukan.

Gangguan rentak yang berlaku secara berselang-seli mungkin sudah berhenti ketika pesakit tiba di hospital dan menyebabkan keputusan ECG kelihatan normal.

“Seorang pesakit mungkin mengalami jantung berdebar atau pening kepala selama 10 atau 15 saat sahaja, atau mungkin seminit, dan menjelang masa mereka sampai di hospital, ECG mungkin menunjukkan keputusan yang normal sepenuhnya.

“Dalam situasi begini, alat pemantauan rentak jantung jangka panjang seperti monitor Holter boleh bermanfaat kerana ia membolehkan kami merakam apa yang berlaku apabila simptom tersebut berlaku,” katanya.

Bagi mereka yang mengalami jantung berdebar, pening kepala, pengsan atau sesak nafas, penilaian terhadap simptom penting bagi menentukan sama ada terdapat gangguan rentak jantung yang berkaitan.

Pemeriksaan kesihatan secara berkala turut boleh membantu mengenal pasti faktor risiko kardiovaskular seperti tekanan darah, paras gula dalam darah dan kolesterol, manakala ECG atau ujian tekanan (stress test) boleh dilakukan apabila diperlukan.

Rawatan bergantung kepada punca

Rawatan aritmia bergantung kepada jenis dan puncanya. Bagi kadar degupan jantung yang perlahan, punca keadaan tersebut perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum rawatan ditentukan.

Antara keadaan yang boleh menyumbang kepada masalah itu termasuk degenerasi sistem konduksi jantung, penggunaan ubat-ubatan, jangkitan, hipotiroidisme, keadaan yang memberi tekanan kepada badan atau ketidakseimbangan dalam sistem saraf.

“Punca-punca ini perlu diperiksa sebelum memutuskan rawatan menggunakan peranti,” ujarnya.

Sekiranya masalah berpunca daripada degenerasi sistem konduksi dan pesakit mengalami simptom, perentak jantung atau pacemaker mungkin diperlukan.

Menurutnya, pemilihan perentak jantung bergantung kepada diagnosis serta lokasi masalah dalam sistem konduksi.

Terdapat beberapa jenis perentak jantung termasuk peranti satu wayar, dua wayar dan tiga wayar, selain perentak jantung tanpa wayar atau leadless pacemaker.

Berbeza dengan perentak jantung konvensional yang memerlukan luka pembedahan pada bahagian atas bahu kiri sebelum wayar dimasukkan ke dalam jantung, leadless pacemaker merupakan peranti kecil yang tidak menggunakan wayar.

Perentak jantung konvensional juga boleh membentuk sedikit benjolan, terutama dalam kalangan pesakit yang sangat kurus, manakala luka pembedahan mungkin mengambil masa untuk sembuh.

“Perentak jantung tanpa wayar mengelakkan luka pembedahan tersebut dan wayar berkaitan, manakala dari segi fungsi, peranti tersebut sepatutnya berfungsi dengan cara yang serupa.

“Namun, doktor masih perlu menilai jenis peranti yang paling sesuai berdasarkan keadaan klinikal pesakit,” jelasnya.

Ujar beliau, leadless pacemaker boleh dipertimbangkan bagi pesakit yang menjalani dialisis dan mempunyai fistula yang besar, individu yang pernah mengalami jangkitan melibatkan perentak jantung konvensional atau pesakit warga emas yang sangat kurus.

Keputusan untuk menggunakan peranti tersebut bergantung kepada diagnosis, jenis peranti yang diperlukan, keadaan klinikal pesakit serta implikasi kos.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×