JAKARTA: Badan Geologi Kementerian Energi dan Sumber Daya Mineral (ESDM) Indonesia melaporkan bahawa episod letusan berterusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda telah berakhir selepas berlangsung selama 25 jam.
Ketua Badan Geologi, Lana Saria dalam laporan penilaian aktiviti Gunung Anak Krakatau yang diterima di Jakarta pada Isnin berkata, episod letusan berterusan itu bermula pada Jumaat jam 11.07 malam waktu tempatan.
Beliau berkata, ia secara rasmi berakhir pada tengah malam Ahad.
“Selepas episod itu berakhir, aktiviti gunung berapi Gunung Anak Krakatau kembali kepada ciri-ciri letusan Stromboli,” kata Lana.
Stromboli ialah jenis atau gaya letusan gunung berapi yang biasanya berlaku secara berkala.
Ia menghasilkan letusan-letusan kecil hingga sederhana, bukannya berterusan yang sangat besar
Badan Geologi mentafsirkan kembali berlakunya letusan Stromboli itu sebagai petunjuk bahawa fasa letusan berterusan yang berpanjangan telah berakhir.
Bagaimanapun, kebarangkalian berlaku letusan susulan dalam masa terdekat masih tinggi.
Berdasarkan pemerhatian menggunakan instrumen dari 6 hingga 7 September 2026, Badan Geologi merekodkan tiga gempa letusan, sembilan gempa hembusan, 93 gempa frekuensi rendah, 98 gempa berbilang fasa, empat episod tremor berterusan dan satu gempa gunung berapi cetek. – AGENSI










