WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menampilkan gaya rambut berwarna lebih gelap sebaik sahaja melangkah keluar dari pesawat rasminya, Air Force One, Jumaat lalu sebelum menghabiskan hujung minggu sempena Hari Buruh di salah sebuah padang golf miliknya.
Gaya rambut keemasan ikonik pemimpin berkenaan kelihatan bertukar kepada rona yang lebih gelap apabila beliau mendarat di Morristown, New Jersey sebelum meneruskan perjalanan ke Bedminster.
Penampilan baharu itu hadir beberapa minggu selepas Trump, 80, mencetuskan kekecohan di media sosial menerusi penampilan rambut perang lebatnya ketika berucap di Red Rock Casino, Las Vegas.
Pada Jumaat, beliau kelihatan mengubah gaya penampilannya sekali lagi apabila warna rambutnya kelihatan hampir coklat.
Penulis biografinya, Michael Wolff, kemudiannya membongkar bahawa presiden berkenaan mempunyai rahsia tersendiri bagi memastikan gaya rambutnya sentiasa kelihatan kemas dan sempurna.
Wolff mendakwa menerusi siaran audio siar Inside Trump’s Head bahawa presiden berkenaan tidak pernah mengembara tanpa membawa set peralatan rambut kesayangannya yang dilengkapi dengan pelbagai ton warna penampal rambut.
“Beliau mempunyai seseorang yang mengekorinya dan terdapat beberapa individu sepanjang bertahun-tahun penglibatannya dalam politik, yang bertanggungjawab membawa set penampal berkenaan,” kata Wolff.
Penulis biografi itu menambah bahawa presiden berkenaan menguruskan sendiri sebahagian besar rambutnya, satu perkara yang pernah diakui sendiri oleh Trump sebelum ini.
Pada 2018, semasa Persidangan Tindakan Politik Konservatif di Maryland, beliau pernah berseloroh: “Saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan kawasan botak saya. Saya bekerja keras untuk itu.”
Pada tahun yang sama, doktor peribadi Trump mendedahkan bahawa beliau mengambil ubat khas bagi menangani masalah keguguran rambut, lapor USA Today. – AGENSI










